Siakap Keli
Mechamato Kini Duduki Carta Top 3
Gambar: Facebook Nizam Abd Razak

Dapat Sambutan Hangat Di Jepun, Mechamato Kini Duduki Carta Top 3 Di Anugerah Anime Tokyo

Dapat Sambutan Hangat Di Jepun, Mechamato Kini Duduki Carta Top 3 Di Anugerah Anime Tokyo

Sebut sahaja mengenai siri animasi atau anime anda pasti sudah membayangkan negara yang terkenal dengan pengeluaran kartun itu.

Animasi yang diterbitkan oleh negara Jepun sememangnya tidak boleh dinafikan dan sentiasa mendapat tempat dalam kalangan orang ramai di Malaysia malah di seluruh dunia.

Antara animasi yang terkenal termasuklah siri One Piece, Dragon Ball, Naruto dan Detective Conan serta banyak lagi merupakan hasil produk negara matahari terbit itu.

Walaupun bagaimanapun, seiring peredaran waktu, animasi tempatan juga semakin mendapat tempat di hati komuniti tempatan mahupun di peringkat global.

Baru-baru ini satu siri animasi tempatan, Mechamato menjadi bualan ramai dan difahamkan telah berjaya menempatkan diri peringkat yang lebih tinggi.

Terbaru, animasi itu berjaya mendapat Top 3 dalam Anugerah Anime Tokyo dan ia sememangnya satu kejayaan yang cukup membanggakan.

Kejayaan itu turut dikongsikan sendiri oleh pengarah animasi tempatan, Nizam Abdul Razak di laman Facebook.

Maklumnya, sebelum ini dia pernah dijemput ke negara berkenaan untuk menjadi salah seorang juri di Festival Anugerah Anime Tokyo pada tahun 2017.

Gambar: Facebook Nizam Abd Razak

“Sebenarnya pada tahun 2017 saya telah dijemput menjadi salah seorang juri di Tokyo Anime Award Festival. Mereka menjemput saya selepas menonton BoBoiBoy Movie 1 (2016) di Tokyo. Tayangan itu bukanlah untuk orang ramai, tetapi untuk industri di Jepun.

“Walaupun bagi kami kualiti BoBoiBoy Movie 1 tidak sehebat mana, tetapi mereka sudah nampak potensi animasi Malaysia (aniMY) untuk masa akan datang, terutamanya dalam aspek 3DCG.

Itu antara sebab saya dijemput sebagai juri dan saya sempat membentangkan tentang aniMY pada ketika itu,” maklumnya dalam di Facebook.

Nizam berkata sejak daripada itu, Mechamato berjaya menembusi pasaran negara Jepun sekaligus berjaya melonjakkan hasil terbitan Animonsta Studios itu.

“Tidak sangka selepas 5 tahun Mechamato berjaya memasuki pasaran Jepun melalui Netflix Japan dan Cartoon Network Japan. Kini Mechamato berjaya mencapai ranking TOP 3 di Tokyo Anime Award dan insyaAllah akan layak ke pusingan seterusnya,” katanya.

Gambar: Facebook Nizam Abd Razak

Tambahnya, produksi MONSTA juga mempunyai jalinan yang baik di negara pengeluar animasi terkenal berkenaan.

“Antara sebab kami mahu menembusi pasaran Jepun ialah atas dorongan dan cabaran rakan-rakan di Jepun. MONSTA sebenarnya banyak rakan kerjasama di Jepun tetapi produk kami belum lagi memasuki pasaran Jepun.

“Mereka mengatakan pasaran Jepun ini sangat sukar untuk ditembusi. Hanya anime dari Jepun dan studio-studio besar hollywood sahaja yang diterima. Mereka juga mengatakan 3D sukar diterima di sana. Penonton lebih selesa dan lebih gemar dengan 2D.

“Tetapi apabila kami membentangkan idea Mechamato, mereka memberikan dorongan untuk mencuba. Belum cuba, belum tahu kan? Mereka nampak potensi Mechamato dan kini Mechamato sudah ditayangkan di Cartoon Network Japan dan Netflix Japan,” maklumnya dalam kenyataan di platform itu.

Gambar: Facebook Nizam Abd Razak

Nizam percaya bahawa siri animasi tempatan ini mampu bersaing dan duduk sebaris dengan animasi-animasi hebat lain. Dalam pada masa yang sama, dia turut meluahkan rasa syukur kepada mereka yang menyokong Mechamato sehingga ke tahap ini.

“Kami percaya jika Mechamato boleh diterima di Jepun yang merupakan pasaran yang didominasi anime-anime hebat, Mechamato boleh diterima di pasaran global.

“Ada beberapa leads untuk Mechamato Movie di pasaran antarabangsa termasuk Jepun tetapi itu semua akan kami umumkan pada 2023 nanti. Terima kasih semua kerana terus menyokong MONSTA dan aniMY! Majulah aniMY untuk negara!,” jelasnya lagi.

Gambar: Facebook Nizam Abd Razak

Untuk makluman, siri Mechamato sudah mempunyai 26 episod dan akan terus ditayangkan di Asia Pasifik, termasuk Jepun dan Korea. Manakala Mechamato Movie pula bakal ditayangkan pada 8 Disember di Malaysia dan Brunei.

Terdahulu, animasi Mechamato berjaya menduduki tangga kelapan daripada 100 karya anime untuk Festival Anugerah Anime Tokyo 2023 baru-baru ini.

Sumber: Facebook Nizam Abdul Razak

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?