Siakap Keli
kajian golongan muda hilang pendengaran akibat fon telinga
Gambar: Pixabay

Hampir Satu Bilion Golongan Muda Berisiko Hilang Pendengaran Akibat Fon Telinga – Kajian

Baru-baru ini, satu kajian mendapati bahawa hampir satu bilion golongan muda mungkin berisiko kehilangan pendengaran disebabkan oleh penggunaan fon kepala dan fon telinga atau menghadiri tempat yang memperdengarkan muzik yang kuat.

Dalam sebuah jurnal yang diterbitkan di BMJ Global Health, pasukan penyelidik antarabangsa menganggarkan bahawa 24 peratus golongan muda berusia antara 12 tahun hingga 34 tahun mendengar muzik pada tahap kelantangan yang tidak selamat.

Sehubungan itu, mereka menyeru agar pihak kerajaan segera melaksanakan dasar mendengar dengan selamat, lapor The Guardian.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa lebih 430 juta individu daripada semua peringkat umur di seluruh dunia kini mengalami masalah pendengaran.

Malahan, penyelidik turut mengatakan bahawa pendengaran muzik pada tahap kelantangan yang tinggi secara berulang kali boleh menyebabkan kerosakan fisiologi pada sistem pendengaran.

“Pendedahan dan pendengaran bunyi yang tidak selamat akan merosakkan sistem pendengaran seseorang seumur hidupnya sehingga menyebabkan mereka berisiko untuk kehilangan pendengaran pada usia muda,” memetik kata penyelidik menerusi laporan.

Selain itu, sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh ahli akademik University of South Carolina di US, meneliti kajian terdahulu mengenai peranti pendengaran dan tahap bunyi yang tidak selamat di tempat yang memperdengarkan bunyi yang kuat antara 2000 dan 2021.

Memetik laporan The Guardian, sebanyak 33 kajian yang melibatkan kira-kira 19,000 orang telah dianalisis dalam kajian ini.

BACA JUGA: Kajian Dapati Secara Purata Rakyat Malaysia Perlu Bekerja 29.2 Hari, Baru Mampu Beli iPhone 14 Pro

Penyelidik menganggarkan sebanyak 23 peratus pelajar dan 27 peratus golongan bawah umur terdedah kepada bunyi yang berlebihan daripada fon telinga mereka.

Di samping itu, mereka juga mengatakan bahawa 48 peratus individu berumur 12 hingga 34 tahun di seluruh dunia terdedah kepada bunyi bising yang berlebihan di tempat hiburan seperti kelab malam atau konsert.

Gambar sekadar hiasan | Kredit: Pixabay

Berdasarkan kepada angka tersebut, penyelidik mendapati golongan muda yang berisiko kehilangan pendengaran di seluruh dunia adalah antara 0.67 bilion hingga 1.35 bilion.

Namun begitu, dapatan tersebut tidak mengambil kira faktor demografi atau perubahan kepada dasar ‘mendengar dengan selamat’ di sesetengah negara.

Oleh itu, kajian tersebut menyimpulkan bahawa pendedahan kepada muzik yang kuat di tempat hiburan dan juga melalui fon telinga memberi risiko kepada hampir satu bilion golongan muda.

Tambahan pula, mereka menjelaskan bahawa tabiat mendengar muzik dengan kuat ini semakin berleluasa di seluruh dunia dan boleh mengakibatkan lebih satu bilion golongan muda berisiko kehilangan pendengaran.

“Hasil daripada kajian ini mendesak untuk melaksanakan dasar yang tertumpu pada tabiat mendengar dengan selamat di seluruh dunia untuk mencegah daripada kehilangan pendengaran,” jelas penyelidik.

Sumber: The Guardian

Noorliyana Ishak

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.