Peluru berpandu yang dilaporkan membunuh dua rakyat Poland dalam kejadian semalam tidak dapat dibuktikan bahawa ia disasarkan daripada pihak Rusia, umum Presiden Poland Andrej Duda, lapor Daily Mail.
Andrej Duda sebaliknya menegaskan, roket jenis S-300 tersebut adalah pada era Soviet dan kemungkinan besar datang dari Ukraine, namun masih tiada petunjuk adakah Poland sengaja menjadi sasaran negara tersebut.
“Pertahanan Ukraine melancarkan peluru berpandu mereka ke pelbagai arah dan berkemungkinan besar salah satu daripada peluru berpandu tersebut telah terjatuh ke wilayah Poland,” katanya selepas mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Poland hari ini.
Namun tambahnya seperti yang dilapor Daily Mail, pihak yang perlu bertanggungjawab ke atas serangan itu adalah Rusia kerana Putin yang memulakan perang di Ukraine.
Sementara itu, Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg menyokong analisis berkenaan dan berpendapat bahawa serangan tersebut mungkin daripada peluru berpandu Ukraine.
Namun jelasnya, masih tiada petunjuk jelas yang mengatakan bahawa ia disengajakan oleh Rusia untuk serangan ke atas negara anggota NATO demikian.
“Ini bukan kesalahan Ukraine. Rusia memikul tanggungjawab muktamad kerana ia yang menyebabkan perang haram ini tercetus terhadap Ukraine,” kata Jens Stoltenberg.
Selain itu, Menteri Pertahanan Belgium Ludivine Dedonder berkata, siasatan awal oleh pasukan keselamatannya menunjukkan perkara yang sama.
Dalam laporan lain pada awal pagi yang dibuat oleh Presiden US Joe Biden, beliau telah memberitahu pemimpin NATO bahawa roket itu adalah milik negara Ukraine.

Difahamkan, beberapa jam selepas serangan, Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mengeluarkan dakwaan bahawa ia adalah serangan peluru berpandu Rusia.
Berita itu muncul pada malam kejadian (semalam), sekali gus memperlihatkan NATO dan Rusia seakan sudah menunjukkan ‘konfrontasi langsung’ yang berisiko boleh mencetuskan Perang Dunia Ketiga.
Bagaimanapun Perdana Menteri Poland Mateusz Morawiecki berkata, tiada keperluan untuk mereka mengadakan rundingan sesama sekutu berhubung ancaman sedemikian seperti mana yang termaktub dalam Artikel 4 NATO.
Imbas kembali kejadian semalam, kedua-dua mangsa terbabit yang masing-masing berusia lingkungan 60-an merupakan pemandu traktor ladang dan penyelia gudang.
Berdasarkan sumber penduduk tempatan, peluru berpandu tersebut ‘tiba’ di lokasi kejadian sewaktu kedua-dua mangsa sedang memunggah bijirin di bahagian pengeringan ladang.
Mangsa yang berada di lokasi kejadian bagaimanapun maut serta-merta sejurus terkena impak letupan peluru berpandu tersebut.
Menurut laporan media, letupan berkenaan dilapor berlaku kira-kira 900 kaki dari kawasan perumahan yang diduduki hampir 500 orang penduduk.
Malah media turut melaporkan, peluru berpandu yang dilancarkan ke Poland dalam kejadian semalam itu pada awalnya didakwa disasarkan dari Rusia.
BACA JUGA: Poland Dihentam Peluru Berpandu Didakwa Buatan Rusia, Sekurang-kurangnya Dua Maut
Sumber: Daily Mail