Siakap Keli
Tangkap layar media-media antarabangsa

Pelantikan Anwar Ibrahim Sebagai Perdana Menteri Dapat Liputan Media Antarabangsa

Pelantikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dapat liputan media antarabangsa

Pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 telah mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tengah hari tadi.

Pengumuman pelantikan itu bukan sahaja mendapat liputan media di Malaysia malah berita itu juga turut mendapat perhatian media-media antarabangsa. Antara media yang membuat liputan pelantikan tersebut ialah, Al Jazeera, Bloomberg, Reuters AFP, CNBC, BBC , The Guardian dan banyak lagi.

Kredit Al Jazeera
Kredit Bloomberg
Kredit Reuters

Laporan BBC menulis bahawa parti Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar Ibrahim memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya Sabtu lepas. Namun kemenangan itu masih tidak mendapat majoriti mudah bagi membentuk sebuah kerajaan.

“Pelantikan Anwar Ibrahim yang berusia 75 tahun itu menandakan tercapainya usaha berdekad lamanya oleh beliau untuk menjadi seorang pemimpin negara.

“Beliau pertama kali berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 1990-an, tetapi beliau dijatuhkan oleh dua sabitan kes liwat sewaktu di bawah kepimpinan Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad. Tuduhan itu dikatakan (dipercayai) atas sebab bermotifkan politik,” tulis laporan BBC.

Kredit BBC

Terdahulu menerusi kenyataan media Istana Negara yang dikeluarkan jam 1.33 petang tadi, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri diadakan pada 5 petang hari ini.

“Setelah memperhalusi titah pandangan Duli-Duli yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Seri Paduka telah memberi perkenan untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Tambun sebagai Perdana Menteri ke-10,” maklum kenyataan itu.

Ahmad Fadil berkata, pelantikan Anwar yang juga Pengerusi PH sebagai Perdana Menteri itu dibuat selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Proses seterusnya ialah Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan berlangsung pada jam 5.00 petang hari ini di Istana Negara.

“Seri Paduka Baginda turut berpesan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan baharu Baginda yang bakal dibentuk untuk mengambil resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Hakikatnya, rakyat jelata tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tiada kesudahan tatkala negara memerlukan sebuah Kerajaan yang stabil untuk merancakkan lanskap ekonomi dan pembangunan negara,” katanya dalam kenyataan itu.

Sumber: BBC

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka