Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

KUALA LUMPUR, 8 JUN - Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Encik Steven Sim Chee Keong, akan menyertai lawatan kerja rasmi Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, ke Tokyo, Jepun dari 8 hingga 10 Jun 2026. Lawatan ini bertujuan untuk memperkukuh kerjasama ekonomi Malaysia-Jepun serta membuka lebih banyak peluang perdagangan, pelaburan, dan akses pasaran antarabangsa kepada perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) Malaysia.
Sempena lawatan tersebut, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama-sama Bank Rakyat akan menganjurkan program Bank Rakyat BizMatch: Make Malaysian Businesses Great. Program yang menghimpunkan usahawan Malaysia dan Jepun ini bertujuan untuk meneroka peluang perdagangan, pelaburan, dan kerjasama perniagaan baharu. Program ini diadakan bersempena dengan Nikkei Forum Future of Asia 2026, iaitu salah satu forum ekonomi yang paling berpengaruh dan berprestij di dunia.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada agenda KUSKOP untuk mempercepat usaha pengantarabangsaan PMKS Malaysia, khususnya ke pasaran Asia Timur. Jepun kekal sebagai antara rakan ekonomi terpenting Malaysia. Pada tahun 2025, jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencecah RM142.96 bilion, sekali gus menjadikan Jepun sebagai rakan dagang kelima terbesar Malaysia di peringkat global.

Lawatan ini juga dibina berasaskan kejayaan pelbagai inisiatif pengantarabangsaan PMKS yang telah dilaksanakan oleh KUSKOP di Jepun sebelum ini. Semasa pameran FOODEX Japan 2026 di Tokyo, penyertaan 31 syarikat dan koperasi Malaysia yang diselaraskan oleh KUSKOP telah berjaya menjana nilai jualan keseluruhan sebanyak RM350.8 juta. Jumlah tersebut merangkumi RM318.9 juta potensi jualan dan RM31.9 juta jualan sebenar.
Pencapaian tersebut jauh melepasi sasaran awal yang ditetapkan, iaitu RM80 juta potensi jualan. Penyertaan itu turut menyaksikan pemeteraian empat memorandum persefahaman (MoU) dan dua memorandum perjanjian (MoA) antara syarikat Malaysia dengan rakan perniagaan antarabangsa.
YB Steven Sim berkata kejayaan tersebut membuktikan bahawa produk dan perusahaan Malaysia mempunyai daya saing yang tinggi di pasaran global.
"PMKS Malaysia telah membuktikan keupayaan mereka di dalam negara. Cabaran seterusnya adalah untuk membantu lebih banyak syarikat tempatan berkembang ke peringkat serantau dan global. Kita mahu melihat lebih banyak PMKS Malaysia menjadi pengeksport, membina kerjasama rentas sempadan, dan menembusi rantaian bekalan antarabangsa.

“Lawatan ke Jepun kali ini merupakan kesinambungan kepada usaha KUSKOP untuk membuka lebih banyak peluang pasaran, memperluas rangkaian perniagaan dan menarik kerjasama strategik yang boleh memberi manfaat kepada usahawan Malaysia.
“Apabila syarikat-syarikat global menilai peluang pelaburan dan kerjasama di rantau ini, kita mahu PMKS Malaysia turut menjadi sebahagian daripada perbincangan tersebut. Ini penting bagi membuka akses kepada teknologi, pasaran baharu dan peluang kerjasama strategik yang boleh membantu perusahaan tempatan berkembang ke peringkat seterusnya,” katanya.
Sepanjang lawatan tersebut, YB Encik Steven Sim juga akan mengiringi Perdana Menteri dalam beberapa siri sesi libat urus bersama-sama pemimpin industri dan syarikat-syarikat utama Jepun. Ini termasuklah pertemuan dengan pemain industri global serta forum ekonomi serantau yang menghimpunkan pemimpin kerajaan, pelabur, dan komuniti perniagaan Asia.
PMKS Malaysia mewakili 96.1 peratus daripada keseluruhan perniagaan negara, menyumbang 39.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mencatat eksport sebanyak RM196.8 bilion pada tahun 2024.