Siakap Keli
Kredit BERNAMA

Selepas Anthony, Giliran Lim Guan Eng Wakili DAP Mohon Maaf

Selepas Anthony, giliran Lim Guan Eng wakili DAP mohon maaf

Selepas Anthony Look, kini giliran Pengerusi Kebangsaan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Guan Eng memohon maaf secara terbuka kepada kerajaan dan rakyat Sarawak atas kenyataan yang menyinggung perasaan mereka selama ini.

Permohonan maaf itu dibuat oleh beliau dalam kemas kini terbaru di akaun Facebook rasminya. Selain itu, beliau juga mengajak untuk membuat permulaan yang baru dan bekerjasama untuk memelihara kepelbagaian.

“Saya memohon maaf sekiranya sebarang kenyataan saya telah menyinggung Premier Sarawak dan kerajaan GPS Sarawak. Masa depan negara mendahului segala-galanya.

“Kita sama-sama mengorak permulaan baru untuk berganding bahu demi memelihara kemajmukan, keterangkuman serta perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan budaya dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan demi kebaikan semua di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Terdahulu, Anthony Look yang juga Setiausaha Agung DAP telah menyatakan permohonan maafnya secara terbuka.

Beliau berkata demikian selepas membuat kunjungan hormat kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Abang Openg  di kediaman beliau di Kuching.

Jelas bekas Menteri Pengangkutan ketika era Pakatan Harapan itu lagi, pertemuan tersebut diharapkan dapat menjadi lembaran baharu untuk membina persefahaman demi negara.

“Kami telah mengadakan perbincangan secara mesra. Saya telah memaklumkan kepada YAB Premier bahawa sekiranya terdapat apa-apa kenyataan yang pernah dibuat oleh mana-mana pemimpin DAP yang menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat Sarawak, saya mewakili pihak DAP untuk memohon maaf secara terbuka.

“Saya berharap pertemuan hari ini akan membuka satu lembaran baru untuk membina persefahaman dan kerjasama demi negara Malaysia yang lebih maju dan progresif,” katanya menerusi laman Facebook hari ini.

Sumber: Lim Guan Eng/Facebook

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka