Kerajaan digesa mempercepat pembayaran balik lebihan cukai berjumlah RM29.919 bilion yang masih tertunggak kepada syarikat, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), bagi membantu mengatasi masalah aliran tunai.
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, berdasarkan penyata kewangan Kerajaan Persekutuan bagi 2025, komitmen bayaran balik cukai berkurangan sebanyak RM3.425 bilion kepada RM29.919 bilion berbanding RM33.342 bilion pada 2024.
Menurutnya, usaha Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengurangkan jumlah tunggakan itu wajar diberikan pengiktirafan, namun baki hampir RM30 bilion masih merupakan jumlah yang besar.
“Wang berkenaan adalah hak syarikat yang terlebih membayar cukai kepada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Guan Eng berkata, sebanyak RM9 bilion telah dibayar kepada 130,000 syarikat sehingga 30 September 2026.
Bagaimanapun, beliau berpandangan pembayaran balik perlu dipercepat bagi membantu kira kira 1.2 juta PMKS yang berdepan kekangan aliran tunai.
“Komitmen bayaran balik cukai perlu dihadkan kepada RM10 bilion. Komitmen sebanyak RM30 bilion merupakan beban kepada syarikat yang berdepan kekangan tunai, khususnya PMKS yang menghadapi keadaan perniagaan semakin merosot serta ekonomi global yang tidak menentu,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa komitmen bayaran balik cukai direkodkan sebanyak RM21.836 bilion pada 2021 sebelum meningkat kepada RM25.721 bilion pada 2022 dan RM25.511 bilion pada 2023.
Sehubungan itu, Guan Eng menggesa pihak yang bertanggungjawab membantu PMKS supaya lebih konsisten mendesak kerajaan mempercepat pembayaran balik lebihan cukai berkenaan.
Katanya, kegagalan memperjuangkan pemulangan wang yang menjadi hak PMKS boleh menimbulkan tanggapan bahawa pihak berkenaan tidak menjalankan tanggungjawab dengan sewajarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pembayaran pampasan tahunan sebanyak dua peratus di bawah Seksyen 111D Akta Cukai Pendapatan bagi kelewatan LHDN memulangkan lebihan cukai turut menunjukkan peningkatan ketara.
Menurutnya, sebanyak RM23.64 juta dibayar sebagai pampasan pada 2025, manakala jumlah itu meningkat kepada RM109 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 sehingga 30 September lalu.
“Peningkatan itu bersamaan hampir lima kali ganda berbanding jumlah pampasan yang dibayar sepanjang 2025,” katanya.

