Siakap Keli
Kredit Anwar Ibrahim/Twitter

Kerajaan Bincang Kecilkan Saiz Kabinet, Kurangkan Gaji Menteri – PM

Kerajaan Bincang Kecilkan Saiz Kabinet, Kurangkan Gaji Menteri – PM

Perdana Menteri Malaysia yang baharu Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan media yang dibuat tengah hari tadi telah memaklumkan bahawa perbincangan sedang diadakan untuk mengecilkan saiz kabinet.

Menurutnya, perbincangan itu diadakan bersama parti-parti yang membentuk kerajaan.

“Perbincangan sedang diadakan bersama parti-parti yang membentuk kerajaan bagi mengecilkan saiz Kabinet serta saya turut menegaskan akan mengurangkan gaji anggota Kabinet kelak,” katanya.

Tidak cuma itu, antara intipati lain yang turut dimaklumkan dalam sidang media itu adalah berkenaan dengan isu kos sara hidup yang menjadi fokus utama kerajaan.

“Kerajaan yang dikemudi saya hari ini meletakkan keutamaan untuk menangani isu kos sara hidup dan saya akan mengadakan pertemuan dengan jabatan serta agensi berkaitan selewat-lewatnya pada hari Isnin ini,” kata beliau sebentar tadi.

Dalam pada itu, beliau juga mengumumkan bahawa parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara rasmi akan menyertai Kerajaan Perpaduan dan seterusnya menjadikan jumlah keseluruhan sokongan pemerintahannya hampir kepada 2/3 kerusi Parlimen keseluruhan.

Terdahulu dalam sidang media beliau pada malam tadi, Datuk Seri Anwar juga mengumumkan untuk menolak daripada menerima gaji sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Selain itu, beliau juga mengumumkan cuti umum pada Isnin depan bersamaan 28 November bagi menunaikan janji Pakatan Harapan kepada rakyat untuk memberi cuti umum sekiranya parti itu berjaya membentuk kerajaan.

Kemelut pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya diakhiri selepas Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu diadakan di Istana Negara bagi membuat keputusan yang terbaik dalam pentadbiran kerajaan yang baharu untuk tempoh lima tahun akan datang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah mendapat perkenan DYMM di-Pertuan Agong telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang baharu pada pukul 5 petang di hari yang sama Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu dibuat.

Sumber: Anwar Ibrahim

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka