Siakap Keli
Kredit: Facebook

“Saya Juga Insan Biasa, Yang Punya Rasa Sedih & Kecewa”, Coretan Ikhlas Tan Sri Muhyiddin Yassin

“Saya Juga Insan Biasa, Yang Punya Rasa Sedih & Kecewa”, Coretan Ikhlas Tan Sri Muhyiddin Yassin

Calon Perdana Menteri Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam PRU 15 yang lalu sebentar tadi melalui satu hantaran facebook memuat naik satu coretan daripadanya.

Menerusi hantaran tersebut, beliau turut memuat naik sekeping gambar pelukan bersama isterinya. Hantaran yang dimuat naik kira-kira dua jam yang lalu setakat ini sudahpun mendapat lebih 55,000 tanda suka, dikongsi lebih 1,400 kali dan lebih 6,100 komen.

Perkongsian penuh tersebut boleh dibaca dibawah.

Sebak rasa hati ini mengenangkan sokongan rakyat di atas jalan perjuangan ini. Saya juga insan biasa, yang punya rasa sedih dan kecewa. Insan kerdil yang juga punya air mata.

Di saat memeluk isteri saya ini saya bukan sahaja merasa tenangnya hati, lapangnya dada, redha takdir Illahi.
Terngiang-ngiang laungan sokongan daripada anda semua ketika berkempen, dan komen-komen sokongan saudara saudari rakyat yang saya kasihi di media sosial.

Saya tahu. Saya bukan sendiri. Bersama dengan saya adanya saudara saudari yang kekal berdiri. Memapah saya agar terus berjalan dan berlari di landasan perjuangan ini.

Saya insafi, perjuangan ini bukan milik saya. Perjuangan ini milik kita bersama, rakyat Malaysia.

Perjuangan murni yang didasari tekad menyelamatkan negara. Perjuangan demi kedaulatan agama, bangsa dan negara kita

Usah kita bersedih hati. Sudah tentu jalan ini jalan yang sukar. Jalan ini jalan yang panjang. Kita tidak akan berhenti dari terus berjalan dek kerana ujian yang melanda.

Ingat lah bahawa obor perjuangan tetap terus menyala. Kuatkan semangat dan tabahkan hati. Jika kita sabar, dan berpegang teguh kepada amanah bangsa dan ikhlas dalam berjuang, insya-Allah akan sentiasa ada sinar di hujung jalan.

Pujuklah hati, bahawa esok hari masih ada. Kita bina Malaysia yang lebih baik dengan setiap kudrat yang ada, dalam apa jua kapasiti kita sekalipun. Ingatlah, Malaysia itu milik kita semua bersama.

Moga saudara saudari, sentiasa berada di dalam lindungan Allah swt dan semoga perjuangan kita semua diredhai Yang Maha Esa.
Terima kasih semua rakyat Malaysia.

Ikhlas dari saya
Muhyiddin Yassin

Terdahulu dalam PRU15, Perikatan Nasional yang dipimpinnya berjaya mempamerkan prestasi yang baik apabila muncul gabungan parti kedua yang memenangi kerusi terbanyak di belakang Pakatan Harapan.

Perikatan Nasional memenangi sebanyak 73 kerusi, kurang 9 kerusi berbanding Pakatan Harapan. Bagaimanapun, keputusan PRU15 secara keseluruhan menyaksikan tiada satu pun gabungan yang berjaya memperolehi majoriti mudah, iaitu 112 kerusi untuk membentuk kerajaan.

Keadaan itu menyebabkan parlimen tergantung dan Malaysia tidak mempunyai kerajaan atau Perdana Menteri untuk empat hari, sehinggalah Istana Negara mengumumkan calon Perdana Menteri Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri semalam.

Beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10 petang semalam selepas berjaya memperolehi kerusi yang secukupnya untuk menubuhkan kerajaan perpaduan, bersama BN, GPS dan beberapa komponen yang lain.

Sumber: Muhyiddin Yassin via Facebook

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma