Siakap Keli
Kredit: Media Selangor

Elaun Minimum Guru KAFA Di Selangor Diseragamkan RM1,500 Sebulan Bermula Tahun Depan

Elaun bulanan bagi seramai 2,825 guru KAFA di Selangor akan diseragamkan dan ditingkatkan kepada RM1,500 sebulan.

Berita baik itu diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2023 di Dewan Undangan Negeri Selangor, Shah Alam, hari ini.

“Atas keperihatinan kerajaan negeri, pelarasan elaun minimum Guru KAFA RM1,500 sebulan akan dilaksanakan bermula Januari 2023,” katanya.

Menurutnya lagi, Selangor masih kekal mendahului negeri lain dalam nilai Keluaran Dalaman Negara Kasar (KDNK). Hal ini dibuktikan melalui nilai kutipan hasil negeri dicatat berjumlah RM2,304.66 juta dicatatkan sehingga 24 November 2022.

Belanjawan 2023 untuk kerajaan Negeri Selangor

Kerajaan Selangor memberikan peruntukan RM3 juta bagi perlaksanaan Program Pencahayaan Lampu Jalan Jenis Solar LED Di Seluruh Selangor bagi Fasa Kedua.

Dalam pada masa yang sama, peruntukan berjumlah RM8 juta pula ditujukan terhadap penyediaan keperluan asas bagi rumah ibadat bukan Islam di Selangor, dari segi baikpulih infrastruktur serta peralatan untuk mengadakan kelas-kelas agama.

Seterusnya, kerajaan Selangor juga ingin memperluas Program Pengajian Bersijil Akademi Literasi Al-Quran Selangor secara berperingkat yang pada awalnya difokuskan pada tiga daerah iaitu Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Sepang.

Bagi penduduk di kawasan luar bandar, menerusi inisiatif Wi-Fi Desa, sebanyak 2,100 Access Point akan dibangunkan di 373 kawasan kampung tradisional, meliputi kawasan balai raya, masjid, atau surau dengan peruntukan sebanyak RM5.93 juta.

Dalam pada itu, kerajaan Selangor juga memandang serius terhadap kejadian bencana banjir yang sering melanda negeri tersebut ketika musin tengkujuh. Terdapat beberapa pembangunan Tebatan Banjir di seluruh Selangor iaitu lembangan Sungai Klang, lembangan Sungai Langat dan lembangan Sungai Selangor dengan peruntukan sebanyak RM 13.445 juta.

Bukan itu sahaja, peruntukan sebanyak RM45 juta untuk kolam takungan bagi mengatasi kejadian banjir bakal dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor iaitu Rawang Integrated, Kg Budiman dan Lebuhraya Shapadu.

Selain daripada guru KAFA, kerajaan Selangor juga akan memberikan elaun tambahan kepada Batin-batin Orang Asli di Negeri Selangor sebanyak RM600 sebulan. Ini adalah untuk mencapai tahap gaji minimum RM1,500 selepas Kerajaan Persekutuan sudah pun memberikan elaun sebanyak RM900.

Sumber: Media Selangor via Twitter

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma