Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Selangor Naikkan Elaun Guru KAFA RM200 Mulai Januari 2027

Elaun Guru KAFA

Elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri Selangor akan dinaikkan sebanyak RM200 mulai Januari 2027.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan bahawa kenaikan elaun itu menjadikan peningkatan daripada RM1,500 kepada RM1,700.

“Kerajaan negeri Selangor sentiasa mengiktiraf jasa dan pengorbanan guru-guru KAFA sebagai tunjang utama dalam membentuk generasi yang berilmu, beriman dan berakhlak.

“Justeru, kebajikan serta kesejahteraan golongan pendidik agama perlu terus diberikan keutamaan khusus dalam mendepani peningkatan kos sara hidup.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri mencadangkan kenaikan elaun bulanan sebanyak RM200. Menjadikan elaun meningkat daripada RM1,500 kepada RM1,700 mulai Januari 2027,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Kita Selangor 2027 pada Jumaat.

Elaun guru KAFA meningkat

Menurutnya, kenaikan ini melibatkan seramai 7,245 orang guru KAFA lantikan negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merangkumi 4,303 Guru Fardhu Ain JAIS (GAF) dan 2,942 Guru Kafa JAKIM

“Inisiatif ini merupakan langkah awal selaras kebajikan pendidikan agama di samping menghargai peranan mereka dalam mendidik lebih 100,000 murid dan anak-anak kita di seluruh negeri Selangor.

“Peningkatan elaun ini melibatkan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM14 juta yang akan ditampung oleh pihak kerajaan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri turut merancang dan menyatakan komitmen untuk menaikkan elaun guru KAFA lantikan negeri dan JAKIM kepada RM2,000 selaras dengan gaji minima Persekutuan baharu yang akan berkuat kuasa pada Jun 2027.

“Januari kita naikkan RM1,700, InshaAllah pada bulan Jun ataupun mulai Julai kita akan menambah atau mempertimbangkan peruntukan baharu dan memastikan guru-guru KAFA elaun mereka bernilai RM2,000 sebagaimana gaji minima yang telah diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan,” katanya lagi.

Intipati
  • Elaun guru KAFA Selangor akan meningkat RM200 kepada RM1,700 mulai Januari 2027.
  • Kenaikan itu melibatkan 7,245 guru KAFA lantikan negeri dan JAKIM di Selangor.
  • Kerajaan negeri merancang menaikkan elaun kepada RM2,000 selaras gaji minimum Persekutuan baharu.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan