Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menjanjikan kenaikan gaji kepada golongan guru sempena sambutan Hari Guru Nasional 2026, lapor Kompas.
“Beli tembikai pada hari Rabu. Makan bersama di atas papan. Selamat Hari Guru buat bapak dan ibu. Tiba masanya nanti kita naikkan gaji guru,” ujar Prabowo di SICC, Sentul, Bogor, Jawa Barat pada Khamis.
“Nanti...,” sambungnya yang disambut dengan gelak tawa.
Prabowo kemudian menjelaskan bahawa maksud perkataan ‘nanti’ dalam kalangan masyarakat Jawa berbeza dengan masyarakat yang tinggal di luar Jawa.
‘Nanti’ bagi orang Jawa membawa maksud yang berbeza, katanya.
“Kalau orang luar Jawa, esok bermaksud esok. Kalau esok bagi orang Jawa, mbesok, mbesok (suatu hari nanti). Jadi, jangan terus bertepuk tangan,” ujar Prabowo.
Menurutnya, kenaikan gaji guru bergantung kepada Menteri Kewangan, Ketua Polis Negara Indonesia (Kapolri) serta Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK).
Bagi mendapatkan peruntukan pendidikan yang lebih besar, kerajaan menerusi agensi penguatkuasaannya akan memburu pihak yang mencuri wang rakyat dalam usaha memperkukuh ekonomi Indonesia.
“Tiba masanya nanti kita naikkan gaji guru. Sekarang, terpulang kepada Menteri Kewangan, Kapolri, KPK, PPATK, BPKP dan Panglima TNI untuk memburu pencuri-pencuri itu.
“Kejar mereka, selamatkan wang rakyat, kita perbaiki ekonomi supaya ekonomi kita kukuh. Jangan percaya kepada maklumat yang tidak jelas di media sosial,” tambahnya.
