Siakap Keli
pembentukan kerajaan pahang
Gambar: BERNAMA

Pemangku Raja Pahang Perkenan Pembentukan Kerajaan Negeri Daripada BN & PH

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan pembentukan kerajaan negeri daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Pengelola Bijaya Diraja Dato’ Ahmad Khirrizal Ab. Rahman berkata Pemangku Raja Pahang turut berkenan melantik Wan Rosdy sebagai Menteri Besar (MB) di negeri itu.

“Majlis pengurniaan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Yang Amat Berhormat MB Pahang akan diadakan pada hari Isnin (esok), 28 November, jam 11 pagi di Istana Abu Bakar,” titah baginda dalam satu kenyataan.

Sebelum ini media melaporkan PH Pahang bersetuju menjalin kerjasama dengan BN negeri bagi membentuk kerajaan negeri yang tergantung selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah semasa dihubungi minggu lepas.

“Ya, PH Pahang bersetuju untuk kerjasama dengan BN Pahang, tetapi kami menunggu keputusan rasmi daripada pimpinan (PH) pusat,” katanya ringkas memetik laporan terdahulu.

Kerajaan negeri Pahang tergantung selepas keputusan PRU15 menyaksikan tiada parti yang memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.

Pada PRU15, BN memperoleh 16 kerusi manakala PH memperoleh lapan kerusi dengan enam daripadanya datang dari DAP, manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat 17 kerusi.

Terdapat 42 kerusi DUN di Pahang, namun proses pengundian bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman hanya akan diadakan pada 7 Dis ini ekoran kematian calon PN di situ Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian PRU15.

Berita lanjut menyusul.

BACA JUGA: PH Pahang Setuju Kerjasama Dengan BN Bentuk Kerajaan Negeri

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana