Siakap Keli
Pulau Anak Patung
Kredit: isladelasmunecas.com | Kristopher Hewkin / SWNS

Pulau Anak Patung ‘Dihantui’ Roh Gadis Lemas

Lebih daripada beribu-ribu anak patung yang rosak dan reput digantung di pokok di sebuah taman ‘chinampa’ lama di Xochimilco, Mexico, memetik laporan Daily Star.

Pulau tersebut dikenali sebagai Pulau Anak Patung atau La Isla de las Muñecas adalah tempat koleksi mainan berhantu terbesar di dunia yang dimiliki oleh bekas pengendali chinampa, Julián Santana Barrera.

Menurut Daily Star, chinampa ialah kaedah pertanian lama Aztec di mana bahagian kecil tanah digunakan untuk menanam tanaman di dasar tasik cetek di Lembah Mexico.

Difahamkan Julián merupakan seorang pertapa yang dipercayai sering dihantui oleh roh seorang gadis yang terjerat dalam rantaian air terusan yang tragis dan lemas pulau tersebut.

Menurut laporan, gadis itu ditemui terapung di dalam terusan bersama anak patungnya, malah disebabkan kejadian itu Julián terus menerus menyalahkan dirinya kerana tidak dapat menyelamatkan nyawa anak perempuan tersebut.

Bagaimanapun, sebagai tanda penghormatan kepada gadis tersebut, Julián menggantungkan mainan itu di pokok dan turut mendakwa terdengar jeritan selepas berjalan tidak jauh meninggalkan tempat itu.

Pulau Anak Patung
Kredit: Kristopher Hewkin / SWNS

Disebabkan itu juga, apabila tanaman Julián gagal, dia terus menggantungkan anak patung di sekeliling hutan untuk menenangkan semangatnya.

Malah, anak patung terakhir yang digantung oleh Julián ialah anak patung yang dipotong separa dengan muka berkaca dan kotor serta dikatakan ‘yang paling seram’.

Dalam masa yang sama, Julián ingin mengembangkan ‘tamannya’ itu dengan menghabiskan setiap masa mencari anak patung di kawasan pembuangan sampah.

Malangnya, Julián meninggal dunia pada tahun 2001, berhampiran dengan kawasan gadis muda itu mati.

Namun, ada yang percaya bahawa Julián mengalami nasib yang sama seperti gadis malang itu (lemas), manakala ada yang mengatakan dia mati kerana mengalami serangan jantung.

Pulau Anak Patung
Kredit: Kristopher Hewkin / SWNS

‘Menjadi tarikan pelancong’

Menurut Daily Star, selepas lebih dua dekad kematian Julián, Island of The Dolls kini sudah menjadi lokasi tumpuan pelancong.

Bagaimanapun, para pelancong juga mendakwa bahawa mereka terdengar ‘bisikan’ pada waktu malam dan merasakan anak patung itu mengekori mereka melalui pokok.

Malah roh gadis yang meninggal dunia itu dianggap masih berkeliaran di dalam hutan.

Namun, perkara itu tidak mematahkan semangat pelancong mahupun jurugambar untuk pergi ke pulau tersebut walaupun pada hakikatnya perjalanannya mengambil masa kira-kira dua jam dari bandar Mexico.

Sumber: Daily Star

 

 

Florence Nuar