Siakap Keli
Kredit: Amber Group

Pengasas Syarikat Kripto Bernilai RM 13 Bilion Di Hong Kong Ditemui Meninggal Dunia

Pengasas Syarikat Kripto Bernilai RM 13 Bilion Di Hong Kong Ditemui Meninggal Dunia

Tiantian Kullander (30), pengasas syarikat matawang kripto, Amber Group ditemui meninggal dunia dalam tidur, kata jurucakap syarikat dalam kenyataan.

Memetik laporan People, mendiang dilapor meninggal dunia pada Ahad lepas.

“Dengan kesedihan yang mendalam, kami dengan berat hati ingin memaklumkan kepada anda mengenai pemergian seorang rakan dan pengasas bersama, Tiantian Kullander, yang didapati telah meninggal dunia dalam tidurnya pada November 23, 2022,” menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Amber Group.

Menyifakan Amber sebagai seorang suami yang berdedikasi, bapa yang penyayang dan rakan yang setias, Amber Group bagaimanapun tidak mendedahkan punca kematian mendiang.

Kredit: Amber Group

Jasa mendiang terhadap syarikat tersebut tidak ternilai dan tidak mampu dibalas

Menurut Yahoo News, Amber Group telah menerima penilaian sebanyak $3 bilion (RM 13.52 bilion) pada 2022 dan sedang mencari dana sebanyak $100 juta (RM 450 juta) lagi.

Kullander ketika ditemui Forbes pada 2020, pernah berkongsi bagaimana syarikat tersebut mula beroperasi pada permulaan wabak  COVID-19.

“Masalah terbesar kami adalah tidak dapat bertemu dengan klien. Tetapi, inilah keindahan dalam dunia matawang kripto, anda masih dapat mengakses pasaran ini untuk 24 jam sehari”

“Kami telah melihat perniagaan kami meningkat, mungkin disebabkan semua orang hanya duduk di rumah,” beliau menambah.

Gambar hiasan | Kredit: Pixabay

Tiada perkataan yang mampu mengungkapkan rasa sedih syarikat tersebut atas pemergian mendiang

Dalam kenyataan tersebut, Amber Group telah menggelarkan Kullander sebagai “tonggak kejayaan” yang telah membimbing syarikt menggunakan “daya intelek, sifat murah hati, sifat rendah diri, kerajinan dan daya kreativiti yang dimilikinya.”

“Pengetahuan yang mendalam, kesanggupan untuk berkolaborasi dan keinginan beliau untuk membantu antara satu sama lain telah memberi manfaat kepada banyak syarikat baharu dan individu.

“Persepsi dan kreativiti beliau memberi inspirasi kepada banyak projek, orang dan komuniti,” ” terang syarikat tersebut itu lagi.

Sumber: People

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma