Siakap Keli
AFP

Asia Bukan Lagi Pasukan Untuk Kutip Mata, Dah Boleh Gugat ‘Gergasi’

Asia Bukan Lagi Pasukan Untuk Kutip Mata, Dah Boleh Gugat ‘Gergasi’

Kejohanan Piala Dunia FIFA 2022 yang berlangsung di negara Qatar sudah sampai ke perlawanan terakhir peringkat kumpulan dan setakat ini pasukan Perancis, Portugal, Brazil, Belanda, Senegal, England dan USA masing-masing sudah layak ke pusingan kalah mati.

Bercerita tentang negara tuan rumah Qatar, dalam sejarah Piala Dunia, Qatar negara ketiga di Asia yang pernah menganjurkan kejohanan berprestij itu selepas tuan rumah bersama Korea Selatan dan Jepun pada tahun 2002.

Qatar juga jadi negara paling kecil yang pernah menganjurkan Piala Dunia setakat ini. Walaupun paling kecil, Qatar tiada masalah untuk menampung jutaan penyokong yang hadir ke negara tersebut untuk menyokong pasukan masing-masing.

Tapi bukan tentang tuan rumah yang SK nak cerita dalam penulisan kali ini, tetapi SK nak kongsi rasa teruja dengan prestasi pasukan-pasukan Asia yang bertanding dalam edisi Piala Dunia kali ini, rata-rata menunjukkan persembahan yang berkualiti di peringkat kumpulan.

Ternyata, negara-negara Asia bukan lagi pasukan belasahan seperti edisi-edisi sebelum ini. Pasukan dari Asia juga membuktikan  mampu mengejutkan pasukan-pasukan gergasi Eropah, Amerika Selatan dan Afrika.

Jurang itu semakin mengecil, walaupun setakat artikel ini ditulis sudah dua pasukan dari Asia tersingkir iaitu Iran dan tuan rumah Qatar yang lebih awal tersingkir.

Tak terjangkau dek akal fikiran waras SK jika suatu hari nanti, pasukan dari Asia menjulang Piala Dunai seperti yang dilakukan pasukan wanita Jepun yang berjaya menjulang Piala Dunia Wanita pada tahun 2011.

Pasukan Wanita Jepun telah membuktikan tiada yang mustahil, selagi mana ada usaha, usaha dan usaha pasti ada bayaran yang berbaloi dan setimpal dengan usaha yang telah ‘dibelanjakan’. Jom kita imbas satu per satu keputusan yang mengejutkan dari pasukan Asia di peringkat kumpulan.

Arab Saudi

AFP

Kisah dongeng pasukan Asia di Piala Dunia kali ini bermula dengan perlawanan diantara Arab Saudi menentang Argentina. Argentina turun dalam perlawanan pertama bukan dengan calang-calang rekod, mereka tidak tewas dalam 36 perlawanan berturut-turut dan menjadi pasukan pilihan untuk menjadi juara edisi kali ini oleh ramai pemerhati bola sepak.

Siapa sangka, rekod 36 perlawanan tanpa kalah Argentina itu dilenyapkan oleh negara yang menjadi lokasi terletaknya Tanah Suci umat Islam iaitu Arab Saudi. Arab Saudi turun sebagai pasukan 51 terbaik dunia dan memilih Herve Renard untuk membimbing pasukan kali ini.

Herve Renard seorang pengurus dari Perancis yang pernah membimbing pasukan Morocco dalam Piala Dunia 2018 di Rusia. Beliau juga sebelum ini pernah memimpin pasukan negara Zambia, Ivory Coast dan beberapa kelab di negara-negara Asia.

Arab Saudi juga pasukan kelima terbaik ranking Asia Football Confederation (AFC) dan pernah menjuarai Piala Asia sebanyak tiga kali, dua kali memenangi FIFA Arab Cup dan menjadi naib johan kejohanan FIFA Confederation Cup pada tahun 1992.

Jika diamati rekod-rekod tersebut, Arab Saudi bukanlah pasukan yang biasa-biasa dan sudah lama bergelar sebagai gergasi Asia. Dunia bagai terhenti seketika di mana perlawanan pertama kumpulan C mengejutkan bangsa bola sepak apabila Arab Saudi membenam Argentina 2-1 serta menamatkan rekod tanpa kalah Argentina.

Gol-gol Arab Saudi dijaringkan oleh Saleh Alshehri dan Salem Aldawsari. Jaringan tunggal Argentina dijaringkan oleh Lionel Messi menerusi sepakan penalti. Ya, SK tak salah tulis. Pasukan yang ditewaskan oleh Arab Saudi ini dipimpin pemain terbaik sepanjang zaman, Lionel Messi dan dibarisi beberapa nama besar lain seperti Papu Gomez, Angel di Maria, Lautaro Martinez serta Nicolas Otamendi.

Arab Saudi bertahan ‘separuh mati’ dalam perlawanan tersebut dan penjaga golnya Mohammed Alowais perlu diberi segala kata pujian yang ada di dunia ini dalam perlawanan itu selepas berjaya menidakkan deretan percubaan dari Argentina. Arab Saudi memanfaatkan dua peluang keemasan mereka dan menjaringkan gol.

Betul juga kata orang, main cantik tapi tak menang buat apa kan? Arab Saudi masih berpeluang layak ke peringkat kalah mati apabila dijadual menetang Mexico jam 3 pagi esok waktu Malaysia. Arab Saudi berkongsi 3 mata dengan Argentina yang akan bertemu pendahulu kumpulan C, pasukan Poland dalam perlawana terakhir.

 

Jepun

(Photo by Anne-Christine POUJOULAT / AFP)

Satu lagi pasukan Asia yang menggemparkan penduduk bumi dalam edisi Piala Dunia kali ini adalah pasukan Jepun atau dikenali sebagai pasukan Samurai Blue. Kenapa penduduk bumi gempar dengan pasukan Jepun? Mana tidaknya, mereka berjaya menewaskan pasukan Jerman dengan keputusan 2-1  dalam perlawanan pertama kumpulan E.

Oliver Kahn pun pasti menyirap dengan persembahan pasukan Die Mannschaft yang ditewaskan pasukan yang negaranya popular dengan makanan sushi. Tiba-tiba teringat pula Sushi King, aduhaii sedap pulak. Jepun kali ini turun sebagai naib juara Piala Asia 2019 dan pasukan menduduki ranking pertama dalam AFC.

Dengan rekod sebegitu, anak-anak buah Hajime Moriyasu mahu memberikan segalanya dan kalau boleh digadaikan Gunung Fuji itu pun pasukan Jepun sanggup demi Piala Dunia Qatar 2022, begitulah hiperbolanya. Tewaskan pasukan Jerman adalah perkara yang tak pernah dibuat dalam sejarah peradaban bola sepak Jepun dan dapat menewaskan mereka di pentas sebesar ini amatlah bermakna bagi seluruh penduduk negara matahari terbit.

Pasukan Jepun dibimbing oleh Hajime Moriyasu yang memiliki 35 caps bersama Jepun sepanjang karier beliau sebagai pemain. Beliau juga pernah mewakili pasukan Sanfrecce Hiroshima selama 14 tahun sehingga dipinjamkan ke Kyoto Purple Sanga dan menamatkan karier bermain di kelab Vegalta Sendai. Sebagai jurulatih, beliau pernah membimbing pasukan Sanfrecce Hiroshima, Jepun B-23 dan skuad senior Jepun. Kejayaan terbesar beliau sebagai jurulatih, memenangi kejohanan Piala Asia Timur tahun ini.

Berbalik kepada perlawanan menentang Jerman, pasukan Jepun berjaya memanfaatkan dua peluang terhidang dengan jaringan dan gol-gol dijaringkan oleh pemain gantian, Ritsu Doan dan Takuma Asano yang juga masuk sebagai pemain gantian. Gol awal Jerman dijaringkan oleh Ilkay Gundogan menerusi sepakan penalti. Menang dengan comeback ni memang manis dia lain macam wei.

Jerman dibarisi pasukan terkuat mereka dengan meletakkan Manuel Neuer di benteng terakhir dan mempertaruhkan Kai Havertz, Musiala, Muller dan Gnabry sepagai penggempur. Namun, rancangan dan taktikal Hansi Flick serba tidak menjadi dalam perlawanan itu.

Jepun mempunyai peluang cerah untuk layak ke pusingan kalah mati tetapi wajib menang menentang Sepanyol dalam perlawanan terakhir kumpulan E. Jerman yang setakat ini mengumpul satu mata juga wajib menang menentang Costa Rica untuk memastikan tempat di pusingan seterusnya atau kemas beg dan angkat kaki dari tanah arab itu. Sengit betul pasukan E ni. Sepanyol pun empat point je.

 

Korea Selatan

AFP

Pasukan Korea Selatan juga tidak kurang hebatnya. Namun tidak tewaskan mana-mana pasukan gergasi setakat ini, tetapi berjaya mencatat keputusan seri dengan gergasi Amerika Selatan, Uruguay dalam perlawanan pertama kumpulan H. Korea Selatan turun sebagai pasukan ketiga terbaik Asia sudah pasti ingin meletakkan pasukan bola sepak mereka setanding dengan kehebatan kumpulan Black Pink yang jual tiket konsert di Amerika Utara pun boleh sold out.

Pasukan Korea Selatan kali ini diketuai oleh bintang Liga Perdana Inggeris, Son Hyeung Min yang tampil bagaikan Robin dalam filem Batman and Robin kerana baru sahaja menjalani pembedahan soket mata. Rekod pencapaian pasukan Korea Selatan tidaklah begitu meriah dua ke tiga tahun kebelakangan ini apabila kali terakhir menjulang piala pada kejohanan Piala Asia Timur edisi 2019 ketika mereka menjadi tuan rumah.

Walaupun Harimau Malaya ketika ini menagih khidmat jurulatih berdarah Korea Selatan, namun tidak bagi pasukan kebangsaan Korea Selatan. Mereka melantik Paulo Jorge Gomes Bento membimbing mereka bermula dengan kempen Piala Asia 2019 sehingga ke Piala Dunia Qatar. Paulo Bento senegara dengan Cristiano Ronaldo dan Luis Figo, mengumpul 35 caps dengan pasukan Portugal.

Beliau pernah membimbing pasukan Sporting Lisbon, pasukan kebangsaan Portugal dan Olympiacos. Pencapaian terbaik beliau sebagai jurulatih membawa Korea Selatan menjuarai Piala Asia Timur 2019.

Korea Selatan ada peluang tipis untuk layak ke pusingan kalah mati. Cuma, cabarannya perlu menewaskan Portugal yang sudah pun layak selepas menang dua perlawanan awal. Korea juga perlu mengharapkan Uruguay tewaskan Ghana bagi mencerahkan peluang mereka.

 

Iran

(Photo by Anne-Christine POUJOULAT / AFP)

Bila sebut pasal Iran dalam sukan, tak banyak yang bermain dalam pemikiran kita kan? Kali terakhir Harimau Malaya lawan Iran pun tahun 2007. Masa tu kau tahu tak yang Estranged jadi juara Anugerah Juara Lagu ke-22. Ahh, merepek jauh pulak. Rekod Iran dalam Piala Dunia kali ini bukanlah yang terbaik, bahkan Iran dah pun tersingkir selepas tiga perlawanan.

Tapi apa yang nak diceritakan, Iran berjaya menewaskan pasukan Wales dalam perlawanan kedua kumpulan B dan menduduki tempat ketiga, mengumpul tiga mata jauh lebih baik dari Wales yang tersingkir ditempat tercorot. Kiranya, pemain-pemain Iran boleh lah cerita kat cucu diorang nanti siap tunjuk highlight kat Youtube sambil kunyah Ghimeh (Makanan popular di Iran).

Pasukan Iran berjaya menewaskan Wales di hujung minit permainan selepas pemain Wales, Wayne Hennessey dilayangkan kad merah. Gol Iran dijaringkan oleh Rouzbeh Cheshmi dan Ramin Rezaeian.

Iran menduduki tempat kedua Ranking Asia ketika ini. Antara pencapaian pasukan Iran ialah tiga kali juara Piala Asia, tiga kali mengalung pingat emas Sukan Asia acara bola sepak dan empat kali menjadi juara Piala Asia Barat.

Seperti tipikal pasukan Asia yang lain, Iran juga tidak mahu menggunakan khidmat jurulatih tempatan dan melantik Carlos Queiroz mengepalai skuad Iran dalam Piala Dunia kali ini. Queiroz pernah membimbing pasukan Portugal, UAE dan menjadi pembantu jurulatih bagi kelab Manchester United. Pencapaian terbaik sebagai jurulatih ialah membawa pasukan Mesir naib juara Piala Afrika.

Begitulah serba sedikit pencapaian pasukan Asia dalam kempen Piala Dunia Qatar kali ini. Tuan rumah Qatar boleh dikatakan pasukan Asia paling corot apabila gagal mengutip sebarang mata tetapi berjaya menganjurkan Piala Dunia serta menyampaikan dakwah Islam dengan jayanya. Itulah kejayaan yang sebenar.

Ayuh kita menadah tangan dan berdoa pasukan Harimau Malaya satu hari nanti mampu menjejakkan kaki ke pentas Piala Dunia dan mencabar pasukan-pasukan gergasi. Kalau negara kecil seperti Iceland itupun mampu, tak mustahil kita juga mampu. Mereka juga ada dua tangan, dua kaki, dua mata dan makan ikut mulut. Sama macam kita.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)