Siakap Keli
Gambar: Molly Maid

Tiga Langkah Mudah Basuh Toto Menggunakan Mesin Basuh Di Rumah

Ramai antara kita yang memilih untuk menghantar toto atau comforter ke kedai dobi serta dobi layan diri disebabkan oleh ketebalannya yang agak sukar untuk dicuci.

Walhal, kita ada saja pilihan untuk membasuh sendiri dengan menggunakan mesin basuh di rumah. Tambahan pula membasuh toto di rumah dapat menjimatkan masa dan ia percuma sahaja.

Namun, membasuh toto atau comforter ini sebenarnya tidak semudah seperti yang disangkakan. Jika tersilap basuh, sudah pasti toto anda akan hancur dan rosak.

Sebenarnya, sekiranya anda ingin mencuci sendiri toto di rumah, ada beberapa kaedah yang boleh dilakukan.

Ikuti perkongsian daripada Hello Doktor mengenai langkah mudah membasuh toto di rumah menggunakan mesin basuh.

Gambar: Hello Doktor

Lamanya tak basuh toto! Tetapi, risau pula hendak cuci sendiri sebab tidak pasti apa atau bagaimana cara basuh comforter guna mesin basuh automatik yang betul.

Manakan tidak, comforter bukanlah satu item yang murah. Satu set comforter kadangkala boleh memakan sehingga ratusan ringgit! Sayanglah jika ia rosak ketika dibasuh.

Namun, itu tidak bermaksud anda tidak boleh mencuci comforter sendiri di rumah. Sebenarnya, cara basuh comforter tidaklah sesukar yang anda sangka.

Walau bagaimanapun, ada beberapa perkara yang anda perlu periksa sebelum basuh supaya toto anda tidak mengecut atau rosak selepas dibasuh.

Dalam artikel kali ini, kami akan terangkan mengenai cara basuh comforter dalam mesin basuh, terutamanya jika anda berhasrat mencuci dalam mesin basuh automatik di rumah!

Berapa kali perlu basuh comforter atau toto?

Berbeza dengan alas tilam biasa, comforter, duvet atau toto perlulah dibasuh 2-3 kali setahun.

Jika anda tahu cara basuh comforter yang betul, tempoh hayatnya boleh dipanjangkan. Malah, jika anda atau ahli keluarga menghidap alahan, masalah ini boleh dikurangkan sekiranya anda rajin membasuh toto.

Toto atau comforter boleh dikategorikan mengikut material masing-masing. Antara material yang popular ialah bulu, poliester, kapas dan sutera.

Sebenarnya, anda tidak perlu susah payah menghantar toto dan comforter ke dobi. Walau bagaimanapun, jika anda tidak mempunyai mesin basuh yang besar dan ragu-ragu mengenai material toto anda, hantar sahajalah ke dobi untuk memudahkan kerja.

Mereka juga boleh berikan nasihat mengenai cara terbaik basuh comforter sendiri di rumah jika anda tidak biasa melakukannya sendiri.

3 cara basuh comforter guna mesin basuh automatik

Gambar: Unsplash

Jika anda merancang untuk membasuh toto, pastikan anda tidak mempunyai baju lain yang perlu dibasuh. Tangguhkan dulu sebarang cucian lain kerana projek basuh toto anda mungkin akan memakan sepanjang hari.

Untuk pastikan comforter anda bersih, anda perlu membilasnya selama 2 kali. Jika anda pilih untuk mengeringkannya menggunakan pengering, projek anda mungkin akan makan masa berjam-jam lamanya!

Sebelum mula, anda mungkin akan perlukan beberapa barang.

Apa yang anda perlukan:

  • Pencuci baju. Pilih pencuci baju kegemaran anda. Namun, elakkan pencuci baju jenis serbuk kerana ia mungkin akan meninggalkan kesan selepas dibasuh
  • Sabun penanggal kesan kotoran degil (spot remover). Ada beberapa jenis sabun khas untuk menanggalkan kotoran. Jika anda mempunyai sabun ini di rumah, ia dapat membantu menanggalkan sebarang kotoran degil (seperti darah dan sebagainya) pada comforter
  • Mesin basuh bersaiz sederhana. Pastikan saiz mesin basuh anda cukup besar untuk membasuh toto!
  • Berus kecil atau kain buruk untuk menanggalkan kotoran degil

1. Baca label pada comforter atau toto anda

Sebelum anda humban comforter ke dalam mesin basuh, pastikan anda baca dulu label pada comforter tersebut. Kadangkala, pengilang sudah mencetak arahan untuk membasuh comforter pada labelnya.

Ada beberapa material seperti kapas atau sutera yang mungkin akan mengecut selepas dibasuh. Jadi, jika ada arahan yang tercetak pada comforter anda, pastikan anda basuh mengikut langkah-langkah yang diberikan.

Jika label tertulis ‘dry clean only’, pastikan anda serahkan tugas mencuci kepada profesional ya!

Cara basuh comforter 2: Buang kotoran sebelum basuh

Sama seperti membasuh baju biasa, anda perlulah hilangkan kotoran sebelum basuh.

Pastikan anda letakkan pencuci baju betul-betul di atas kotoran yang ingin dihilangkan sebelum memasukkan comforter anda di dalam mesin basuh.

Tip periksa kotoran sebelum mencuci:

  • Bentangkan toto atau comforter di atas katil, meja atau lantai
  • Sapukan pencuci baju pada kawasan yang kotor
  • Gunakan berus yang lembut untuk buang kotoran tersebut
  • Pusingkan comforter anda dan lakukan perkara yang sama
  • Biarkan pencuci baju selama 15 minit sebelum basuh

Periksa dahulu sama ada comforter anda berlubang atau mempunyai jahitan yang tertetas. Jika tidak, comforter atau toto anda mungkin akan terkoyak atau rosak selepas dibasuh.

3. Masukkan comforter ke dalam mesin

Masukkan comforter atau toto anda ke dalam mesin basuh dengan berhati-hati. Jangan lupa, untuk pastikan cucian anda benar-benar bersih. Caranya, pastikan toto anda ada ruang yang cukup untuk berpusing.

Sebab itulah, anda perlukan mesin basuh yang besar untuk membasuh toto. Gunakan air sejuk dan pencuci baju yang lembut. Jika boleh, bilas comforter anda 2 kali supaya bekas sabun dapat dihilangkan sepenuhnya.

Kemudian, spin seperti biasa dan sidai di luar.

Selepas ini, anda bolehlah praktikkan cara basuh comforter yang kami jelaskan di atas. Selamat mencuba!

Sumber: Hello Doktor

Noorliyana Ishak