Siakap Keli
pesakit skizofrenia telan 187 duit syiling
Gambar: HT Photo via Hindustan Times

187 Kepingan Syiling Berjaya Dikeluarkan Dari Perut Pesakit Skizofrenia

Sekumpulan pakar perubatan berjaya mengeluarkan 187 kepingan syiling dalam perut seorang lelaki berusia 58 tahun selepas dia mengadu sakit perut dalam kejadian Hospital Hangal Kumareshwar, India pada Ahad, lapor Hindustan Times.

Difahamkan, lelaki tersebut yang merupakan penduduk di bandar Lingsugur dilapor menghidapi skizofrenia dan penyakit psikiatri lain seperti yang disahkan oleh doktor yang merawatnya.

Pada awalnya, lelaki terbabit mengadu sakit perut dan telah dibawa ke hospital oleh saudara-maranya. Kemudian doktor menjalankan imbasan sinar X dan melakukan endoskopi ke atasnya.

Menurut doktor itu, lelaki terbabit menelan pelbagai jenis syiling yang kesemuanya dipercayai seberat 1.5 kilogram (kg) dalam tempoh dua hingga tiga bulan.

“Dia mengalami masalah psikiatri dan telah menelan syiling ini dari dua hingga tiga bulan lepas. Pesakit datang ke hospital mengadu mengalami muntah-muntah dan merasakan ketidakselesaan perut.

“Berdasarkan simptomnya, kami melakukan sinar X dan endoskopi dan mendapati syiling di dalam perut, jadi kami memutuskan untuk membedahnya,” kata Dr Eshwar Kalaburgi, salah seorang doktor yang melakukan pembedahan itu.

Dr Kalaburgi berkata, pembedahan itu tidak sukar dilakukan dan tugasnya hanya mengeluarkan semua syiling yang ada di dalam perutnya.

“Perut pesakit mengembang dengan besar. Banyak duit syiling tersangkut di bahagian perut pada kedudukan yang berbeza.

“Selepas dua jam pembedahan kami berjaya mendapatkan semua syiling. Pesakit berada dalam keadaan stabil dan boleh bercakap seperti biasa setakat ini,” tambah Dr Kalaburgi.

Ujar Dr Kalaburgi, memandangkan pesakit menghidap skizofrenia dalam keadaan ini, dia dipercayai tidak sedar apa yang dilakukannya selama ini.

“Ini adalah kes yang jarang berlaku. Ia merupakan kes pertama saya dalam perkhidmatan selama 40 tahun berkhidmat,” ujarnya.

Menelusuri mengenai penyakit itu, pakar psikiatri Hospital Manipal Varthur Dr Pallavi Joshi berkata skizofrenia adalah gangguan pemikiran yang mendorong kepada hipotesis neurodegeneratif dan neurodevelopmental.

“Neurodevelopmental bermakna terdapat masalah perkembangan dan neurodegeneratif pula terdapat beberapa perkara dalam otak yang semakin merosot.

“Gejalanya termasuk peningkatan dalam syak wasangka dan ketakutan. Apabila tahap dopamin meningkat, mereka tidak akan dapat tidur dan berasa lebih jengkel,” katanya.

Oleh itu, pesakit skizofrenia akan mengalami pemikiran yang tidak teratur sehingga kadangkala mereka tidak dapat membezakan antara yang boleh dimakan dan tidak boleh dimakan.

Menurutnya, perkara itu dipercayai akan membawa kepada kecederaan diri.

Sumber: Hindustan Times

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana