Siakap Keli
Kredit: AFP

Ahli Arkeologi Dilapor Temui Lukisan Dinding Tamadun Purba Berusia 1,000 Tahun

Ahli arkeologi telah menemui lukisan dinding pra-Hispanik yang menggambarkan babak-babak dalam kisah mitos di utara Peru yang sebelum ini hanya boleh dilihat menerusi foto berwarna hitam putih yang berusia lebih daripada satu abad, lapor AFP.

“Ia merupakan satu penemuan yang penting kerana pertama sekali, lukisan dinding dengan kualiti sebegini merupakan salah satu relik yang jarang ditemui dalam bidang arkeologi pra-Columbia,” kata  Sam Ghavami, seorang ahli arkeologi Switzerland yang mengetuai misi ekskavasi tersebut.

Ghavami telah menghabiskan masa selama empat tahun untuk mencari lukisan dinding tersebut, yang mana dipercayai berusia kira-kira 1,000 tahun bersama sekumpulan pelajar Peru.

“Komposisi lukisan ini sangat unik dalam sejarah seni mural pra Hispanik di Peru,” tambahnya, yang telah mendapat latihan di University of Fribourg di Switzerland.

Lukisan dinding tersebut merupakan sebahagian daripada kuil Huaca Pintada iaitu kepunyaan tamadun Moche yang mula berkembang antara abad pertama sehingga abad kelapan.

Panjang mural tersebut berukuran kira-kira 30 meter (98 kaki) dan warna cat lukisan tersebut seperti warna biru, perang, merah, putih dan kuning mustard masih terpelihara sehingga saat ia ditemui.

Kredit: AFP

Dalam satu bahagian, lukisan yang menggambarkan perarakan pahlawan boleh dilihat menuju ke arah dewa seperti burung.

“Nampaknya imej-imej tersebut diilhamkan oleh idea hierarki suci yang dibina berdasarkan pemujaan nenek moyang dan hubungan rapat mereka bersama kuasa alam semula jadi,” kata Ghavami.

Dia memberitahu AFP bahawa penyelidikannya akan merangkumi penterjemahan mesej di sebalik  mural itu.

Walau bagaimanapun, beliau percaya bahawa ia boleh ditafsirkan sebagai imej metafora susunan politik dan agama penduduk purba rantau itu.

Penemuan tersebut disifatkan sebagai luar biasa apabila ia menunjukkan pencampuran beberapa gaya dan elemen daripada dua budaya tamadun pra-Inca pre-Incan cultures iaitu Moche dan Lambayeque yang telah mendiami kawasan perairan utara Peru antara 900 sehingga 1350 AD.

Dilupakan oleh para saintis

Kewujudan mural ini hanya diketahui menerusi sebuah foto berwarna hitam dan putih yang diambil sekitar 1916 oleh seorang ahli etnologi Jerman, Hans Heinrich Bruning yang telah menetap di Peru selama bertahun-tahun.

Walau bagaimanapun, pemburu harta karun telah memusnahkan dinding tersebut ketika mereka cuba untuk mengaut barang-barang berharga di tapak tersebut, dan ia telah dilupakan oleh komuniti saintifik.

Dalam pada itu, tiada sesiapa yang mengetahui mengenai foto yang diambil oleh Bruning sehingga foto tersebut ditemui semula pada 1978.

“Sejak itu, ahli arkeologi telah mengetahui mengenai Huaca Pintada, tetapi tiada seorang pun yang datang ke sana untuk menjalankan proses ekskavasi pada tapak tersebut kerana mereka menyangka bahawa tiada apa yang dapat ditemui di sana,” katanya.

Beberapa tahun berlalu, lukisan itu menarik minat Ghavami ketika dia mengerjakan tesis kedoktorannya mengenai peralihan budaya seperti antara tamadun Moche dan Lambayeque.

Walau bagaimanapun, pada awalnya dia terpaksa mengambil masa yang agak lama bagi mendapatkan kebenaran daripada keluarga pemilik tanah tempat mural tersebut ditemui.

“Ia mengambil masa dua tahun untuk mendapatkan kebenaran bagi menggali tempat tersebut dan saya telah mencuba pelbagai cara untuk menyelesaikan masalah dengan mendapatkan bantuan daripada pawang yang menjaga semangat di kuil tersebut,” kata Ghavami.

Sumber: AFP

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma