Gara-gara menjalani sesi urutan kasar untuk menurunkan berat, seorang wanita terpaksa membuang separuh buah pinggangnya menerusi pembedahan kecemasan selepas mengalami sakit di bahagian perut.
Lapor Oddity Central, wanita yang berusia 41 tahun itu dilaporkan ingin menurunkan berat badan dengan bantuan urutan. Oleh itu, dia telah mengunjungi sebuah spa yang terletak di Hangzhou di wilayah Zhejiang, China.
Semasa tukang urut tersebut mengurut, wanita itu hampir tidak dapat menahan sakit di bahagian perutnya dan memaklumkan kepada pengurut itu mengenainya.
Namun, tukang urut itu mendakwa rasa sakit tersebut datang berpunca daripada lemak yang ‘meninggalkan’ badannya.
Wanita itu hanya mempercayai apa yang didengari dan terpaksa menahan sakit dengan mengetap gigi sepanjang sesi urutan berjalan.
Tetapi sakit di perutnya menjadi lebih teruk selepas dia pulang ke rumah. Beberapa jam selepas urutan penurunan berat badan dilakukan, wanita pertengahan umur itu mula mengalami gejala seperti muntah dan cirit-birit.
Kemudian, keluarganya telah membawanya ke hospital di daerahnya dan difahamkan ketika itu dia berada dalam keadaan separuh koma.
Doktor kemudian melakukan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT) ke atas perutnya dan mendapati angiomiolipoma di buah pinggang kiri wanita itu pecah.

Angiomiolipoma buah pinggang adalah tumor ‘jinak’ dalam buah pinggang yang biasanya tidak mempunyai sebarang gejala dan tidak mendatangkan sebarang bahaya.
Tindakan biasa selepas penemuannya adalah pengawasan aktif untuk memastikan tumor tersebut tidak tumbuh atau mula berdarah.
Selepas pemeriksaan dilakukan, doktor membuat kesimpulan bahawa berdasarkan saiznya, tumor itu tidak akan mengganggu wanita tersebut namun sesi mengurut itu sangat kasar sehingga pertumbuhan berkenaan pecah menyebabkan pendarahan teruk.
Doktor memutuskan untuk menjalankan pembedahan membuang tumor itu dan akibatnya, separuh daripada buah pinggangnya tidak dapat menjalankan fungsi normalnya.
Wanita tersebut dilaporkan masih dalam pemerhatian di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Hangzhou.
Sumber: Oddity Central
BACA: Berdepan Inflasi, Ramai Berjimat Buat Dua Tiga Kerja Sehari Nak Bagi Keluarga “Happy”
BACA: Apa Nak Buat Ketika Saudara Terdekat Meninggal Dunia? Ini Perkara Yang Perlu Disegerakan