Siakap Keli
derma darah terakhir
Gambar: Pusat Darah Negara

Derma 356 Kali Sejak 1988, Lelaki Dirai Derma Darah Buat Kali Terakhir Di Usia 70 Tahun

Derma 356 Kali Sejak 1988, Lelaki Dirai Derma Darah Buat Kali Terakhir Di Usia 70 Tahun

Menderma darah adalah satu amalan mulia dan ia wajar dilakukan, lebih-lebih bagi mereka yang bertubuh badan sihat. Setiap peket darah yang didermakan begitu bermakna kerana ia mampu digunakan untuk menyelamatkan nyawa individu lain.

Mengikut laman web Majlis Keselamatan Negara, had umur yang ditetapkan bagi invidu yang mahu menderma darah adalah sehingga berumur 70 tahun. Manakala, orang ramai boleh mula menderma darah bermula usia 17 tahun, dengan kebenaran penjaga.

Sebentar tadi, menerusi hantaran Facebook Pusat Darah Negara Kementerian Kesihatan Malaysia, hari ini mereka meraikan seorang individu yang telah menderma darah sebanyak 356 kali dan hari ini merupakan kali terakhir beliau menjadi seorang penderma darah selepas sekian lama berbuat demikian.

Beliau yang dikenali sebagai Encik Lum Kien Seng yang berusia 70 tahun itu telah menjadi penderma semenjak tahun 1988 dan penderma aferesis sejak 2000 sehingga ke hari ini.

Menurut Pusat Darah Negara lagi, Encik Kien Seng sentiasa mementingkan penjagaan kesihatannya bagi memastikan beliau layak dan kekal sihat untuk menderma darah.

Justeru, Pusat Darah Negara merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Encik Kien Seng atas pengorbanannya dalam menjalankan tanggungjawab sosial ini tanpa mengharapkan sebarang balasan.

”Semoga diberikan kesihatan yang baik dan sentiasa bahagia atas segala amalan baik yang telah anda lakukan.”

Pihak warga kerja Pusat Darah Negara berharap apa yang dilakukan oleh lelaki yang berusia 70 tahun ini akan menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk kekal sihat dan menjadi ADIWIRA DARAH sehingga ke usia emas.

BACA: 19 Tahun Kerja, Pekerja Asing Terima Gaji RM 5.5k Sebulan, Hantar RM 5.2k Ke Kampung

Sumber: Pusat Darah Kementerian Kesihatan Malaysia via Facebook, Majlis Keselamatan Negara

Shafikah