Siakap Keli
Gambar: Facebook Jabatan Kesihatan Melaka

Temui Najis Tikus Bawah Kabinet, Empat Dapur Hotel Di Melaka Diarah Tutup

Temui Najis Tikus Bawah Kabinet, Empat Dapur Hotel Di Melaka Diarah Tutup

Sebanyak empat buah restoran atau dapur hotel diarah tutup sementara kerana tahap kebersihannya tidak memuaskan termasuk sebuah hotel terkenal di Melaka, lapor Sinar Harian.

Datuk Dr Rusdi Abd Rahman, Pengarah Kesihatan Negeri Melaka berkata, pihaknya mengesan pembiakan lipas dan najis tikus di bawah kabinet dapur premis tersebut dalam Op Hotel yang dijalankan pada Selasa dan Rabu lepas.

Arahan penutupan selama 17 hari telah dikeluarkan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 bermula pada hari Selasa.

Baca: Paling Murah RM2.08 Juta, Ini Fakta Kereta “Handmade” Mewah Rolls Royce Yang Tular

Menurutnya, sebanyak 14 kompaun bernilai RM10,400 dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 atas pelbagai kesalahan iaitu tidak memakai apron dan penutup kepala, pekerja tiada suntikan antitifoid serta tiada kursus pengendali makanan.

“Sebanyak 40 hotel di sekitar Melaka antaranya di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Bukit Katil, Jalan Tun Sri Lanang, Jalan Hang Tuah, Banda Hilir, Melaka Raya dan Pulau Melaka telah diperiksa dalam Op Hotel yang dijalankan selama dua hari,” katanya dalam satu kenyataan.

Baca: “Asalkan Ada Kerja,” Hakikat Graduan Perlu Hadam, 5 Tahun Grad Tapi Masih Kerja Tak Ikut Bidang, Gaji Tak Setimpal

Memetik Sinar Harian, tahap kebersihan empat dapur hotel yang diperiksa itu berada dalam tahap yang tidak memuaskan dan arahan penutupan dikeluarkan bagi kerja-kerja pembersihan dilakukan oleh pihak hotel.

Pengarah Kesihatan negeri tersebut berkata sembilan kompaun bernilai RM4,500 telah dikeluarkan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 terhadap lapan hotel yang didapati mempunyai tempat pembiakan jentik-jentik.

Beliau berkata, Unit Inspektorat dan Perundangan bersama Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan akan berusaha meningkatkan pemantauan terhadap seluruh premis makanan dan minuman, terutamanya hotel di Melaka.

Hal ini bertujuan bagi memastikan pematuhan ke atas Akta Makanan 1983 dan akta lain yang dikuatkuasakan di bawah jabatan itu.

Dalam pada itu, Dr Rusdi mengarahkan Jabatan Kesihatan negeri untuk sentiasa peka dan prihatin terhadap perbuatan atau perkara yang boleh membahayakan kesihatan orang awam.

“Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan dan kebersihan premis, orang awam boleh menghubungi pejabat kesihatan daerah terdekat atau Jabatan Kesihatan negeri,” kata Dr Rusdi.

Sebarang aduan boleh dibuat di laman sesawang http://moh.spab.gov.my 

Sumber: Sinar Harian

Noorliyana Ishak