Siakap Keli
Kredit BERNAMA

Kepakaran Rafizi Ditagih Bantu Pulih Ekonomi Negara

Kepakaran Rafizi ditagih bantu pulih ekonomi negara

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) — ‘Kepulangan’ Mohd Rafizi Ramli dalam gelanggang politik ternyata berbaloi apabila dilantik dalam Kabinet setelah Pakatan Harapan (PH) menganggotai Kerajaan Perpaduan yang mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Rafizi, 45, sememangnya antara nama yang disebut-sebut sebelum ini disenaraikan dalam senarai Jemaah Menteri pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pernah ‘berehat’ seketika daripada dunia politik, Rafizi dikatakan pakar dalam membaca data dan menentukan formula ekonomi, dan kepakarannya itu diharap akan menjadikan ekonomi Malaysia melangkah ke satu tahap yang lebih baik.

Baca: “Asalkan Ada Kerja,” Hakikat Graduan Perlu Hadam, 5 Tahun Grad Tapi Masih Kerja Tak Ikut Bidang, Gaji Tak Setimpal

Dilahirkan di Besut, Terengganu pada 14 Sept 1977, Timbalan Presiden PKR itu mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Ismail, Kemaman sebelum melanjutkan pelajaran ke Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Rafizi kemudian menduduki Physics A-Levels di Morrisons Academy di Scotland dan Chemistry A-Levels di akademi sama sebelum melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di University of Leeds, England.

Baca: “Boleh Dapat Pampasan Sehingga..,” Ketahui Hak Lelaki Jika Jadi Mangsa Gangguan Seksual

Pengasas sebuah firma data, INVOKE itu kemudian memulakan kerjaya dengan Jeffreys Henry Chartered Accountants, London dari 1999 sehingga 2003 dan lulus semua peperiksaan akauntan bertauliah dengan Institute of Chartered Accountants in England & Wales (ICAEW) dalam masa dua tahun.

Beliau juga diterima sebagai ahli ICAEW pada 2003, selepas tamat tempoh minimum latihan di firma perakaunan dan diterima sebagai ahli Malaysian Institute of Accountants (MIA) pada 2003 apabila pulang ke Malaysia.

Rafizi kemudian berkhidmat di Petronas Malaysia Sdn Bhd menjawat jawatan pengurus di bahagian Propane Dehydrogenation Plant sebelum dinaikkan pangkat kepada Pengurus Kanan (Perancangan Perniagaan, Operasi dan Teknologi Urusniaga Petrokimia) yang bertanggungjawab menguruskan kumpulan urus niaga petrokimia Petronas dengan aset melebihi RM30 bilion.

Baca: Paling Murah RM2.08 Juta, Ini Fakta Kereta “Handmade” Mewah Rolls Royce Yang Tular

Beliau kemudian berkhidmat di Petronas Carigali Sdn Bhd (2007-2009) sebagai Pengurus Kanan (Perakaunan, Belanjawan dan Percukaian Antarabangsa).

Di sini, beliau bertanggungjawab menguruskan hal ehwal kewangan 51 anak syarikat Petronas Carigali yang terlibat dengan operasi huluan di peringkat antarabangsa membabitkan belanjawan tahunan melebihi RM20 bilion.

Pada 2009 beliau memegang jawatan Pengurus Besar di Pharmaniaga Berhad seterusnya sebagai Ketua Eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor sehingga 2012 sebelum mengasaskan sebuah syarikat, National Oversight & Whistleblowers Centre (NOW) (2012-2018 ) dan kini pengasas kepada syarikat bukan berasaskan keuntungan, INVOKE.

Rafizi melebarkan sayap politiknya apabila bertanding di Parlimen Pandan pada PRU13 dan memenangi kerusi berkenaan serta mempertahankannya selama satu penggal.

Beliau kemudian hilang kelayakan untuk bertanding pada PRU14 setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana mendedahkan maklumat perbankan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) pada 2018.

Pada tahun yang sama, nasib nyata tidak menyebelahi Rafizi apabila tewas di tangan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada pemilihan PKR sebagai Timbalan Presiden, namun dilantik sebagai Naib Presiden parti itu.

Sejak itu, Rafizi dilihat ‘berehat’ daripada karier politiknya sebelum melakukan ‘come back’ apabila mengumumkan bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti pada Julai 2022 dan memenangi jawatan berkenaan.

Beliau sekali gus kembali ke radar politik apabila bertanding semula pada PRU15 lepas di Parlimen Pandan yang pada PRU14 diambil alih Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Rafizi menang dengan majoriti 48,296 undi menewaskan empat pencabar lain di kawasan berkenaan pada PRU15.

Takdir nampaknya memihak kepada dirinya apabila PH kembali menerajui pimpinan negara melalui Kerajaan Perpaduan dengan mengangkat Anwar, yang juga Presiden PKR sebagai Perdana Menteri ke-10.

Sumber: BERNAMA

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka