Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Indonesia Bakal Lulus Undang-undang Baharu, Pesalah Zina Dipenjara Setahun

indonesia lulus pesalah zina dipenjara setahun
Gambar Hiasan via Google

Indonesia Bakal Lulus Undang-undang Baharu, Pesalah Zina Dipenjara Setahun

Parlimen Indonesia dijangka meluluskan undang-undang jenayah baharu pada bulan ini yang akan menghukum individu yang melakukan seks luar nikah dengan hukuman penjara sehingga setahun, lapor BBC.

Menurut anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Bambang Wuryanto yang terlibat dalam draf undang-undang itu berkata, kod jenayah tersebut dijangka akan diluluskan seawal minggu depan.

Sekiranya diluluskan, ia akan diguna pakai ke atas rakyat tempatan dan warga asing, namun hukuman itu hanya berkuat kuasa jika ada aduan dibuat kepada pihak berkuasa mengenainya.

Manakala bagi yang sudah mendirikan rumah tangga, pihak yang berhak membuat aduan ialah suami atau isteri pelaku.

Selain itu, undang-undang tersebut boleh diguna pakai kepada ibu bapa yang ingin melaporkan kepada pihak berkuasa berkenaan anaknya yang melakukan seks luar nikah.

Dalam masa yang sama, seseorang yang tinggal serumah dengan berlainan jantina juga akan diharamkan dan mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan.

Dibimbangi pengusaha perniagaan

Bagaimanapun difahamkan, terdapat segelintir pengusaha perniagaan bimbang akan impak undang-undang berkenaan berikutan imej Indonesia yang dikenali sebagai destinasi percutian dan pelaburan.

Timbalan Pengerusi Persatuan Pengusaha Indonesia (APINDO) Shinta Widjaja Sukamdani berkata bagi sektor perniagaan, pelaksanaan undang-undang adat itu akan mewujudkan ‘ketidakpastian’, sekali gus membuatkan pelabur perlu berfikir dua kali sebelum melabur di Indonesia.

Difahamkan, undang-undang jenayah itu ditetapkan untuk diluluskan pada 2019 tetapi menurut BBC, ia dibantah oleh puluhan ribu orang awam dalam satu tunjuk perasaan suatu ketika dahulu.

Dalam perkembangan lain, wilayah Aceh di utara Sumatera juga menguatkuasakan hukuman jenayah syariah, termasuk menghukum individu yang didapati bersalah kerana berjudi, minum arak dan berkhalwat.

Misalnya pada 2021, berlaku satu kes seorang individu membuat aduan kepada pihak berkuasa atas kes jirannya yang didakwa melakukan zina hingga mereka menerima hukuman 77 sebatan.

Pada hari yang sama, seorang wanita dan lelaki masing-masing dikenakan 20 sebatan kerana ditangkap sedang berdua-duaan, serta dua lelaki dikenakan 40 sebatan setiap seorang kerana mabuk.

Sumber: BBC