Siakap Keli
Kredit Gambar: Hoba Meteorite National Heritage Site/Damien du Toit/Rostasedlacek

Dipercayai Mendarat Sekitar 80,000 Tahun Lalu, Kenali Hoba, Meteorit Paling Besar Dijumpai Di Bumi

Dipercayai Mendarat Sekitar 80,000 Tahun Lalu, Kenali Hoba, Meteorit Paling Besar Dijumpai Di Bumi

Sejak di bangku sekolah lagi, kita sudah diajar mengenai dunia sains yang melibatkan planet serta galaksi yang berada di muka bumi ini.

Setiap kali melihat ke arah langit pada waktu malam, pasti ada di antara kita yang pernah terlihat satu cahaya yang secara tiba-tiba sahaja melintasi langit.

Namun, adakah anda tahu bagaimana lintasan cahaya tersebut terjadi sehingga membolehkan kita lihat secara mata kasar?

Ia bermula dengan batuan kecil atau logam yang terapung di angkasa lepas yang dipanggil sebagai meteoroid.

Sekiranya meteoroid tersebut jatuh ke dalam atmosfera bumi dengan kelajuan tinggi, ia akan terbakar lalu menghasilkan lintasan cahaya yang dikenali sebagai meteor.

Kemudian, apabila meteor tersebut tidak terbakar sepenuhnya di udara dan jatuh ke permukaan bumi, ia akan bertukar menjadi meteorit.

Ini bermakna, batu besi yang terjatuh di permukaan bumi yang pernah disaksikan oleh jutaan manusia sebelum ini adalah meteorit.

Meteorit terbesar pernah terhempas ke bumi

Bercakap mengenainya, sebuah meteorit yang terbesar seberat 66 tan pernah terhempas ke Bumi dan digelar sebagai Hoba.

Kredit Gambar: Hoba Meteorite National Heritage Site

Meteorit berkenaan dipercayai terhempas di Hoba West, Namibia. Justeru, meteorit tersebut dinamakan bersempena dengan nama tempat itu.

Pada tahun 1920, seorang petani yang dikatakan sedang membajak ladang miliknya berhampiran Grootfontein, Namibia tiba-tiba menjerit apabila bajak miliknya tersangkut. Disebabkan rasa ingin tahu yang mendalam, dia terus menggali tanah tersebut.

Kemudian, dia mendapati sebuah jisim logam yang besar berada di dalam tanah tersebut. Perkara itu kemudian mendapat perhatian daripada para saintis dan ia telah dikenal pasti sebagai meteorit yang jatuh ke permukaan bumi.

Oleh kerana jisim meteorit itu mencecah 66 tan dan berukuran 2.95 x 2.84 m, ia tidak pernah dialihkan oleh mana-mana pihak.

Bukan itu sahaja, meteorit Hoba itu dikatakan sebagai meteorit atau kepingan besi terbesar yang pernah ditemui secara semula jadi berhampiran permukaan Bumi.

Kredit Gambar: The Trustees of the Natural History Museum, London via BBC

Difahamkan, meteorit Hoba telah terhempas ke bumi sekitar 80,000 tahun dahulu.

Ia mengandungi kira-kira 84% besi, 16% nikel dan sejumlah kobalt dan logam lain.

Kredit Gambar: Rostasedlacek

Meteorit itu berkemungkinan lebih berat daripada 66 tan ketika mendarat di bumi kerana terdapat banyak oksida besi di dalam tanah yang mengelilingi meteorit tersebut dan ia telah menyebabkan kehilangan pengoksidaan yang ketara.

Tiada kawah terhasil

Bagaimanapun, apa yang mengejutkan para saintis ialah tiada kawah yang mengelilingi meteorit Hoba tersebut. Objek sebesar meteorit Hoba itu seharusnya menembusi atmosfera bumi dengan daya yang cukup pada kadar kelajuan yang sangat tinggi untuk menghasilkan sebuah kawah.

Namun, tiada kawah yang terhasil di sekitar tapak meteorit Hoba itu.

Ini menunjukkan bahawa meteorit itu jatuh ke Bumi pada kadar kelajuan yang lebih rendah daripada jangkaan para saintis.

Pun begitu, sesetengah saintis berpendapat bahawa keadaan had laju rendah pada hentaman mungkin berlaku disebabkan oleh bentuk rata meteorit itu.

Dalam usaha untuk mengawal vandalisme yang berlaku di sekitar kawasan tersebut, meteorit Hoba telah diisytiharkan sebagai Monumen Negara pada tahun 1955.

Bagaimanapun, vandalisme pada meteorit itu tetap dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga ia dipulihkan sepenuhnya dan dipelihara pada tahun 1988 dengan bantuan pembiayaan daripada Yayasan Rössing.

Kredit Gambar: Damien du Toit via The Science Explorer

Kemudian, pada tahun yang sama, sebuah pusat pelancongan telah dibuka berdekatan kawasan tersebut.

Ekoran daripada pembukaan pusat pelancongan itu, pengunjung dari luar berpeluang untuk melihat, memegang serta memanjat meteorit Hoba itu bagi tujuan untuk mengambil gambar hanya dengan bayaran sederhana.

Kawasan meteorit Hoba itu kini telah dikunjungi oleh ribuan pengunjung dari pelbagai negara pada setiap tahun.

Sumber: Amusing Planet, Geology, NASA

Farah Nabilah