Siakap Keli
dekorasi rumah orang cina
Gambar hiasan | Kredit: Foyr/Google

Lelaki Kongsi Cara Orang Cina Hias Rumah, Ada Sebab Kenapa ‘Simple’

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Mungkin ramai yang belum tahu, orang Cina kebanyakannya gemar menghias dan buat dekorasi di rumah mereka dengan sangat ringkas.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa sesetengah daripada kita menginginkan rumah yang cantik yang diubah suai dekorasinya mengikut kemahuan sendiri.

Justeru, rata-rata golongan ini akan menghias rumah dengan membeli perabot baharu, mengubah suai dalaman atau banyak lagi yang boleh dilakukan semata-mata untuk memastikannya dalam keadaan bak kata orang ‘sejuk mata memandang.’

Malah tidak dinafikan, ada segelintir golongan yang sanggup membuat pinjaman demi memastikan keinginannya tercapai.

Tetapi, adakah tindakan ini wajar dilakukan? Bekerja siang malam hanya untuk membayar kos ubah suai dan melangsaikan pinjaman hutang? Tentu tidak. Anda sepatutnya perlu melakukannya mengikut kemampuan.

Bagaimanapun, anda sebenarnya boleh meneruskan minat dan impian tersebut asalkan tidak terbeban untuk melakukannya dan jangan terlalu optimis untuk kelihatan ‘kaya’ namun hakikatnya tidak.

Tahukah anda, salah satu contoh positif yang boleh kita ambil tentang ubah suai rumah yang sederhana, kurang belanja tapi sangat menenangkan adalah melihat cara kebanyakan masyarakat kaum Cina punya ‘style’?

Deko rumah masyarakat Cina, perkongsian dari Adam Kelvin

Menurut Adam Kelvin di Facebook, dia menjelaskan bagaimana cara atau budaya masyarakat Cina dalam aktiviti atau hobi mengubah suai serta menghias rumah.

Sumber: FB Adam Kelvin

Dalam perkongsiannya, masyarakat Cina jarang mengubah suai rumah dengan tujuan untuk memewahkannya atau nampak ‘grand’.

Tambahnya lagi, hiasan yang terdapat dalam rumah masyarakat Cina sangat minimum, misalnya hanya mengubah suai pada keperluan yang penting sahajaa. Asalkan berfungsi dengan baik, maka ia akan digunakan lagi.

Contohnya, mengubah suai meja dan kabinet atau menambah luaskan ruangan dapur untuk dijadikan bilik khas untuk dobi.

Perabot ringkas, tiada hiasan berat

Dari aspek perabot pula, mereka tidak membelanjakan wang yang banyak, asalkan perabot itu berkualiti dan kemas maka itu sudah cukup. Jadi, tidak perlu untuk nampak mewah.

Meja makan juga dihias dengan sangat ringkas, jadi anda tidak akan jumpa bunga-bunga berat atau hiasan di atas meja. Secara ringkasnya, masyarakat Cina lebih mementingkan fungsi dan kualiti daripada kecantikan sesuatu perabot atau barang.

Perkara ini sukar untuk dinafikan kerana biasanya kalau kita pergi ke rumah kawan-kawan yang berbangsa Cina, jelas rumah mereka direka dan dihias dengan sangat ‘simple’.

Sumber: Adam Kelvin

Sudah pasti jarang untuk kita lihat rumah mereka diubahsuai untuk nampak mewah malah perabot berjenama jarang sekali kita jumpa dalam rumah mereka.

Dalam pada itu, Adam Kelvin mengakui bahawa mereka lebih mementingkan cat yang berkualiti untuk menampakkan rumah sentiasa kemas dan bersih.

Dari aspek hiasan lampu pula, jarang sekali rumah masyarakat Cina dipasang dengan lampu ‘chandelier’ yang besar-besar. Tidak hanya itu, di siling rumah juga tiada sebarang ukiran apa-apa.

Malah, Adam menyatakan bahawa dia berasa pelik apabila kawan-kawan isteri yang sudah membeli rumah tetapi memilih untuk tidak mendiaminya dengan alasan ingin mengumpul duit untuk mengubah suai dan menghias rumah.

Baginya, perkara itu seolah-olah pembaziran kerana kita akan membayar sewa luar dalam masa yang sama kita akan membayar kepada pihak bank untuk duit rumah.

Suka ‘spend’ duit untuk makan

Menurutnya, masyarakat Cina ‘sayang’ jika duit dihabiskan semata-mata untuk pengubahsuaian rumah. Mereka lebih rela menghabiskan duit untuk pendidikan, pelancongan dan kenyangkan perut.

Sumber: FB Adam Kelvin

Sebelum ini, isteri Adam hanya makan apa sahaja makanan tanpa menyoal tentang kesedapannya. Bagi isterinya, asalkan kenyang, sedap tak sedap belakang kira.

Sebaliknya, masyarakat Cina sangat sangat mementingkan kualiti dan kesedapan sesuatu makanan, justeru mereka tidak kisah jika melabur sedikit untuk makanan.

Tak gemar beli barang, lebih suka ‘beli’ pengalaman dengan melancong

Selain itu, masyarakat Cina juga lebih gemar menghabiskan duit untuk melancong dengan tujuan untuk menambah pengalaman. Hal ini kerana bagi mereka mengubah suai rumah hanya kepuasan yang bersifat sementara.

Duit yang dilaburkan di satu tempat sahaja jika kita mengubahsuai rumah.

Gambar: FB Adam Kelvin

“We don’t really buy material, but we do buy experience.”

Bagi mereka, hidup perlu ‘dikayakan’ dengan pengalaman supaya apabila sudah menginjak dewasa, hidup kita tidak akan membosankan.

Itulah yang diterapkan oleh ayah Adam kepadanya semasa kecil, malah dia juga percaya bukan hanya dirinya yang menerima nasihat dan dididik sedemikian.

“Hidup simple dan beli sesuatu bukan untuk menunjuk tetapi kepuasan atau reward diri selepas berkorban selama ni,” tulisnya.

Sumber: Adam Kelvin | Facebook

Florence Nuar