Siakap Keli
Tengku Zafrul Perjelas Trip Ke UAE
Gambar: tangkap layar video FB Tengku Zafrul

Mana Ada Saya Pergi Qatar Tengok World Cup – Tengku Zafrul

Mana Ada Saya Pergi Qatar Tengok World Cup – Tg Zafrul

Ketidakhadiran Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan semalam telah mencetuskan pelbagai ‘cerita sensasi’ dalam kalangan rakyat.

Tidak cukup dengan itu, turut timbul juga dakwaan dan desas-desus yang mendakwa bahawa beliau berada di Qatar ketika itu untuk menonton Piala Dunia yang kini sedang berlangsung di Doha.

Hal itu telah menyebabkan beliau tampil memuat naik satu video di Facebook rasminya untuk memperjelaskan isu tersebut secara lebih terperinci.

“Baru sahaja angkat sumpah jadi menteri terus keluar macam-macam fitnah dan ‘fake news’, kononnya saya ponteng mesyuarat Jemaah Menteri untuk tengok World Cup di Qatar,” katanya dalam video tersebut.

Menurut beliau, ketidakhadirannya dalam mesyuarat itu adalah atas urusan rasmi kerajaan. Tambahan pula, sudah termaktub dalam undang-undang bahawa menteri tidak boleh sesuka hati meninggalkan parlimen atas urusan peribadi.

PM yang bagi ‘lampu hijau’

Perkara itu turut dijelaskan lagi bahawa keberangkatannya ke Abu Dhabi telah pun mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pertamanya, saya pergi Abu Dhabi bukan ke Doha, Qatar. Keduanya, saya pergi ke Abu Dhabi untuk urusan rasmi, bukan saja-saja nak pergi. Tak dapat hadir mesyuarat jemaah menteri ini bukan macam ponteng kelas. Rasa taknak pergi, tak pergi.

“Mana-mana menteri yang nak keluar negeri perlu dapat kebenaran Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dahulu. Kalau PM tak lulus, tak boleh pergi,” katanya.

Justeru, selepas angkat sumpah pada hari Sabtu, beliau terus berbincang dengan pegawai kanan MITI tentang keberangkatannya ke Abu Dhabi dan akhirnya bertolak pada hari Ahad.

Seperti yang dikongsi melalui laman Facebook pagi tadi, beliau pergi ke Abu Dhabi untuk menghadiri majlis kerjasama perdagangan Pertonas dan Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Malah, Tengku Zafrul difahamkan tidak berkeseorangan kerana perjanjian tersebut turut disaksikan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

BACA JUGA: Tengku Zafrul, YDPA Hadir Majlis Kerjasama Perdagangan Petronas-UAE Di Abu Dhabi Semalam

Tengku Zafrul Perjelas Trip Ke UAE
Kredit: Tengku Zafrul | Facebook

“Perjanjian ini adalah salah satu perjanjian bersejarah dan terbesar untuk Malaysia dan UAE bagi sektor ‘oil dan gas‘ kerana ia melibatkan pelaburan antara kedua-dua negara bagi tempoh 30 tahun,” katanya.

Malah, perjanjian tersebut juga bertujuan untuk menilai dan meneroka kawasan konsesi seluas 2,000 kilometer persegi di wilayah Al Dhafra.

Tidak dinafikan pencapaian Malaysia melalui kerjasama tersebut adalah satu kejayaan di peringkat antarabangsa yang patut dibanggakan oleh rakyat.

Kesannya, sumber pendapatan Petronas akan dapat dipelbagaikan, sekali gus mampu mengukuhkan status mereka sebagai syarikat tenaga terkemuka di dunia.

“Ini bakal memberi Spillover Effect yang positif kepada ekonomi kita,” katanya.

Malah menurutnya, beliau turut berkesempatan untuk melawat pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Dubai.

Untuk pengetahuan, MATRADE menyertai Expo Perdagangan “The Big 5” di Dubai yang merupakan expo perdagangan terbesar dalam sektor pembinaan dan bahan binaan.

Malah ekspo antarabangsa yang berlangsung dari 5 hingga 8 Disember itu turut disertai lagi oleh 12 syarikat dari Malaysia.

“Saya yakin kepakaran dan rekod prestasi cemerlang syarikat-syarikat ini akan membolehkan mereka meraih projek dan kontrak bukan sahaja di UAE malah seluruh rantau Timur Tengah.

“Insyaallah, saya akan kembali ke Malaysia untuk memberikan taklimat mengenai perjanjian ini serta membentangkan perkara-perkara lain semasa mesyuarat jemaah menteri pada hari rabu ini,” tambahnya.

Sumber: Tengku Zafrul | Facebook

Florence Nuar