Siakap Keli
tengku zafrul di abu dhabi
Gambar: FB Tengku Zafrul

Tengku Zafrul, YDPA Hadir Majlis Kerjasama Perdagangan Petronas-UAE Di Abu Dhabi Semalam

Tengku Zafrul, YDPA Hadir Majlis Kerjasama Perdagangan Petronas-UAE Di Abu Dhabi Semalam

Teka-teki tidak hadir ke mesyuarat Kabinet akhirnya terjawab apabila Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Zafrul Abdul Aziz mendedahkan beliau sebenarnya menghadiri majlis kerjasama perdagangan Petronas dan Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi semalam.

Maklum beliau dalam satu kenyataan, hubungan perdagangan antara Malaysia dengan UAE akan menjadi lebih kukuh selepas ini rentetan pemeteraian kerjasama antara Petronas dengan sebuah syarikat minyak di negara teluk tersebut.

“Alhamdulilah, semalam saya telah menyaksikan Petronas Abu Dhabi Sdn Bhd & Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) memeterai perjanjian yang bersejarah bagi Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menerusi kerjasama meneroka dan menilai Unconventional Onshore Block 1 yang meliputi kawasan konsesi 2,000 km persegi di wilayah Al Dhafra,” katanya.

Gambar: FB Tengku Zafrul

Beliau berpandangan, perjanjian yang telah termeterai itu akan menunjukkan keupayaan Malaysia untuk bersaing dengan syarikat-syarikat di peringkat antarabangsa.

“Pemerteraian perjanjian ini menunjukkan keupayaan bersaing syarikat-syarikat Malaysia di peringkat antarabangsa. Ia juga mencerminkan hubungan rapat dua hala perdagangan Malaysia-UAE dan meningkatkan lagi silaturahim kedua-dua buah negara,” tambahnya.

Difahamkan Tengku Zafrul tidak keseorangan di sana, sebaliknya detik bersejarah perjanjian tersebut turut disaksikan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut sama menghadiri majlis tersebut ialah Presiden UAE, Yang Mulia Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan; Menteri Industri & Teknologi Maju UAE merangkap Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ADNOC, Dr. Sultan Ahmed Al Jaber dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Tengku Muhammad Taufik.

Dalam kenyataan yang sama, beliau berharap agar kebolehan syarikat Malaysia dapat dibuktikan sebagai pesaing dalam kalangan industri-industri dunia pada masa akan datang.

“Harapan saya adalah untuk melihat lebih banyak syarikat Malaysia berjaya di persada antarabangsa dan membuktikan lagi kebolehan Malaysia sebagai pesaing kelas pertama dalam kalangan pemain-pemain industri dunia, InsyaAllah,” tambahnya.

Gambar: FB Tengku Zafrul

Sumber: Tengku Zafrul | Facebook

Florence Nuar