Itali Miliki ‘Balai Polis China’ Tak Rasmi Paling Banyak Di Seluruh Dunia
Itali menjadi tuan rumah kepada bilangan tertinggi “balai polis” China secara tidak rasmi daripada lebih 100 rangkaian di seluruh dunia, tulis satu laporan oleh kumpulan hak sivil Sepanyol.
Menurut The Guardian, dua pusat perkhidmatan polis China didakwa menggunakan kota Milan di utara Itali sebagai medan ujian Eropah untuk strategi kepolisan bagi memantau penduduk China di luar negara dan memaksa mereka untuk pulang.
Safeguard Defenders yang berpangkalan di Madrid melaporkan pada bulan September bahawa terdapat 54 stesen sedemikian wujud di seluruh dunia. Kewujudan itu telah mendorong siasatan polis di sekurang-kurangnya 12 negara termasuk Kanada, Jerman dan Belanda.
Berdasarkan laporan yang diterbitkan pada hari Isnin, kumpulan hak sivil itu berkata mereka telah mengenal pasti 48 stesen tambahan, 11 daripadanya berada di Itali. Stesen lain baru dikenal pasti berada di Croatia, Serbia dan Romania.
Stesen itu didakwa berada di Rom, Milan, Bolzano, Venice, Florence dan Prato sebuah bandar berhampiran Florence yang menempatkan bilangan pendatang dari China per kapita terbesar di Itali dan Sicily.
Penyiasatan yang dijalankan oleh Safeguard Defenders adalah berdasarkan kenyataan dan data dari China yang tersedia secara terbuka dan terhad kepada stesen yang ditubuhkan oleh pihak berkuasa keselamatan awam China.
Safeguards Defenders mendakwa walaupun stesen itu tidak dikendalikan secara langsung oleh Beijing, namun beberapa kenyataan dan dasar mula menunjukkan panduan yang lebih jelas bahawa ianya datang daripada kerajaan pusat dalam menggalakkan penubuhan dan dasar mereka.
Kumpulan hak sivil itu juga mendakwa bahawa balai polis tidak rasmi tersebut digunakan oleh China untuk “mengganggu, mengancam, menakut-nakutkan” agar mereka pulang ke China.
Kumpulan itu juga berkata lagi, bahawa mereka mempunyai bukti intimidasi yang berbeza untuk dibandingkan dengan saluran rasmi ekstradisi. Terdahulu terdapat seorang pekerja kilang dituduh melakukan penyelewengan dan kembali ke China selepas 13 tahun di Itali. Namun pekerja tersebut sehingga kini hilang tanpa jejak.
“Kami memantau data China dan pada bulan April mendapat maklumat daripada kementerian maklumat awam yang menunjukkan bahawa 210,000 orang dipujuk untuk kembali dalam masa satu tahun sahaja,” kata Laura Harth, pengarah kempen untuk Safeguard Defenders.
“Perjanjian dua hala Kementerian Keselamatan Awam 2015 mengenai rondaan polis bersama dengan kerajaan Itali nampaknya telah menyumbang secara langsung kepada penubuhan stesen “juruterbang” Eropah kemudiannya di Milan pada 2016 oleh polis Wenzhou dan 2018 oleh polis Qingtian,” tulis laporan itu.
Menurut Istat sebuah agensi statistik kebangsaan, Itali dilaporkan menjadi rumah kepada 330,000 warga China menurut angka pada tahun 2021.
Itali dan Beijing didakwa mempunyai pelbagai perjanjian antaranya ialah skim rondaan polis bersama, yang pertama kali ditandatangani pada 2015, di mana polis China mengawal bandar Itali untuk tempoh sementara.
Sementara itu, China menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa pejabat itu hanyalah sebuah “stesen perkhidmatan” yang ditubuhkan untuk membantu warga China dalam prosedur birokrasi seperti memperbaharui pasport atau lesen memandu.
Sumber: The Guardian