Siakap Keli
Kredit: Bernama

Kerajaan Disaran Kaji Semula Struktur Cukai Untuk Tingkatkan Hasil: Ahli Ekonomi

Kerajaan Disaran Kaji Semula Struktur Cukai Untuk Tingkatkan Hasil: Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) – Kalangan ahli ekonomi menyeru kerajaan mengkaji semula struktur cukai keseluruhan dan mencari langkah tambahan untuk meningkatkan aliran hasil.

Penasihat Kanan Institut Penyelidikan Khazanah Prof Jomo Kwame Sundaram berkata walaupun mudah untuk melaksanakan semula dan menambah baik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana ia telah dilaksanakan sebelum ini, ia sendiri mungkin tidak memadai untuk menjana peningkatan hasil yang diperlukan.

“(Bukan itu sahaja) saya berpendapat, kita mempunyai satu struktur cukai yang tidak saksama dalam kedua-dua sudut pencukaian serta sudut perbelanjaan, malah, kita juga tidak mengutip begitu banyak dari segi pencukaian sebanyak yang kita belanjakan.

“Sehubungan itu, struktur cukai keseluruhan memerlukan kajian semula dan kerajaan perlu merancang cukai nilai ditambah yang lebih progresif,” katanya pada perbincangan secara maya MARC360: Tinjauan dan Cabaran Ekonomi Malaysia, anjuran Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC) hari ini.

Jomo berkata walaupun difahami bahawa kerajaan baharu tidak berupaya mengubah segalanya dalam sekelip mata, ia perlu memulakan usaha ke arah melaksanakan lebih banyak penyesuaian.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Rahimah bt Yusof yang juga pakar ekonomi Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata kerajaan perlu lebih kreatif mencari pelbagai kaedah untuk menambah hasil negara.

“GST ialah alat cukai yang baik, tetapi anda perlu menilainya dengan alat lain. Lihat kepada seluruh dasar pencukaian. Bagi saya, saya tidak bersetuju dengan pengenalan semula GST hanya untuk meningkatkan hasil negara,” katanya.

Mengenai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Jomo berkata kerajaan perlu mengkaji semula Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) kerana ia hanya memanfaatkan sebilangan syarikat besar dan perniagaan selain memburukkan lagi ketidaksamaan ekonomi tempatan.

CPTPP ialah FTA yang ditandatangani oleh Malaysia, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, Peru, New Zealand, Singapura dan Vietnam.

Perjanjian itu berkuat kuasa pada Disember 2018 bagi Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand dan Singapura, manakala Vietnam pada Januari 2019, Peru (September 2021) dan Malaysia pada 29 November 2022.

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma