Siakap Keli
Kredit: CNN/Khaled Al Enazi

Seakan Jerung Gergasi, Jurugambar Berjaya Rakam Formasi Batu Aneh Di Tengah Padang Pasir

Batu Berbentuk Ikan Gergasi Di Temui Di Padang Pasir Arab Saudi

Seorang jurugambar, Khaled Al Enazi berjaya merakam sebuah foto formasi batuan yang menyerupai ikan gergasi di tengah padang pasir yang panas terik di Arab Saudi baru-baru ini.

Menurut laporan CNN, gambar berkenaan diambil menggunakan drone ketika Khaled sedang mendokumentasikan tapak arkeologi di daerah Al-Ula, yang terkenal dengan struktur purba setaraf dengan Kota Petra di Jordan.

“Semasa saya mendokumentasikan kawasan itu, pemandangan gunung muncul di hadapan saya, bentuknya menunjukkan seakan seekor ikan di tengah padang pasir,” katanya kepada CNN melalui e-mel.

Jurugambar itu berkata dia mungkin bukan orang pertama yang menemui formasi batuan tersebut, namun percaya gambar dari perspektif tersebut mungkin menjadikannya orang pertama yang perasan dengan bentuk ikan tersebut.

“Mata jurugambar dapat melihat apa yang orang lain tidak nampak,” katanya yang turut menamakan batu itu sebagai ikan gurun.

Dalam rakaman dron yang dirakam oleh Khaled pada Jun tahun ini, pembentukan batu itu kelihatan menyerupai makhluk akuatik yang berenang melalui pasir keemasan, struktur seperti sirip punggungnya juga menunjukkan seolah-olah ikan jerung yang muncul dari dalam untuk mengintai mangsanya.

“Ada yang menyebut bahawa ia adalah ikan sebenar yang telah difosilkan berjuta-juta tahun dahulu, tetapi itu tidak betul. Ia adalah batu pasir yang dibentuk oleh banyak faktor,” katanya.

Video ikan gurun yang dikongsi dalam tweet pada bulan Julai lepas telah mengumpulkan lebih daripada 29,000 tontonan  dan sejak itu beliau sedang berusaha untuk mencipta saluran Youtubenya sendiri bagi mendokumentasikan wilayah Al-Ula dan landskapnya yang menarik.

Sumber: CNN

Shafikah