Siakap Keli
altimet dedah royalti lagu aduh malaysia
Gambar: Instagram Altimet

Altimet Dedah Royalti Lagu ‘Aduh Malaysia’ Diserah Kepada Waris P. Ramlee

Penyanyi rap dan penulis lirik, Altimet mendedahkan semua royalti lagu Aduh Malaysia telah diserahkan kepada waris seniman terulung tanah air Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Lagu Aduh Malaysia yang berunsur politik tersebut telah didendangkan semasa musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hingga menyebabkan nama penyanyi itu disebut-sebut oleh orang ramai.

“Sebenarnya saya lepaskan semua royalti lagu ni ke waris Allaryarham Tan Sri P. Ramlee.

“2022 antara tahun terakhir untuk waris-warisnya mendapat hasil harta intelek. Hak ini lupus 50 tahun lepas pencipta meninggal.

“Lagi ramai orang menyanyi, lagi banyak mereka dapat. Jadi terimalah kasih semua,” katanya dalam ciapan Twitter pada Khamis.

Dalam pada itu, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad berkata lagu tersebut sebenarnya sudah siap pada 2016 dan diolah semula pada 2021 dan 2022.

“Benda (lagu) ini sudah lama rancang. Lagu siap pada 2016. Update sikit 2021/22. Sentimen rakyat kena pada masa ini. Allahyarham meninggal pada 1973.

“Apa lagi. Terima kasih semua yang viralkan lagu ni. Saya tidak mampu balas jasa satu persatu,” tambah Altimet.

Kredit: Twitter

Kenyataan tersebut dibuat selepas beliau membalas ciapan pengguna Twitter yang memintanya untuk mengambil royalti kerana parti lain menggunakan lagu itu semasa berkempen.

@altimet, jangan lupa claim royalti kat parti lain guna lagu sempena kemenangan calonnya di #PadangSerai #PRU15,” kata pengguna yang menggunakan akaun @ahmadsyazihan.

Difahamkan juga, lagu tersebut telah diubah dari lagu asal Ali Baba Dengan 40 Penyamun hasil ciptaan P. Ramlee.

Ia kemudian diolah kembali dengan judul Ayuh Malaysia dan sering diguna pakai sepanjang kempen PRU15 berjalan hingga dijadikan lagu latar untuk video seperti di media sosial TikTok.

Sumber: Altimet/Twitter

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana