Budak 11 Tahun Maut, Jatuh Dari Bumbung Hotel Ketika Berlatih Parkour
Seorang budak lelaki berusia 11 tahun maut selepas terjatuh lebih 50 kaki di hotel Costa Blanca ketika sedang berlatih parkour, lapor Daily Mail.
Beberapa orang pelancong yang menyaksikan kejadian ngeri itu mendakwa mangsa cuba terjun dari bumbung hotel ke kawasan lobi hotel kira-kira jam 3 petang pada Ahad lalu.
Mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia pada lewat malam Ahad di Alicante, tenggara Sepanyol.
Nama hotel itu tidak didedahkan namun ianya terletak di Alfaz del Pi, berhampiran dengan Benidorm.
“Kami sedang menyiasat kejadian itu namun kesemuanya menunjukkan tragedi berlaku berpunca daripada kecuaian di pihak budak lelaki tersebut,” kata jurucakap Pengawal Awam Sepanyol.
“Dia tidak menginap di hotel dimana lokasi kejadian itu berlaku tetapi sebaliknya dia naik ke bumbung bangunan bersama rakan yang lain untuk berlatih parkour.
“Ketika kejadian, mangsa dikatakan telah terjatuh dari ketinggian kira-kira 52 kaki dan mendarat di kawasan lobi hotel di tingkat bawah.
Baca: “Boleh Dapat Pampasan Sehingga..,” Ketahui Hak Lelaki Jika Jadi Mangsa Gangguan Seksual
“Mangsa berada dalam keadan yang teruk. Mangsa pada awalnya dibawa ke Hospital Marina Baixa di Villajoyosa sebelum ke Hospital Universiti Alicante dan disahkan meninggal dunia sekitar 11.30 malam,” tambah jurucakap itu lagi.

Menurut pegawai itu lagi, mangsa merupakan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun merupakan warganegara Norway dan tinggal di Alfaz del Pi.
Baca: Paling Murah RM2.08 Juta, Ini Fakta Kereta “Handmade” Mewah Rolls Royce Yang Tular
Pegawai penyiasat juga tidak mendedahkan nama hotel lokasi kejadian. Namun terdapat sumber yang mengatakan bahawa ketika kejadian itu berlaku terdapat pelancong berada di sekitar lobi hotel ketika pasukan polis tiba.
“Petugas kecemasan mendapat panggilan kecemasan sejurus budak lelaki itu terjatuh,” kata seorang saksi.
Parkour ialah sukan di mana orang cuba melompat dari titik A ke titik B dengan cara paling pantas dan secekap yang mungkin.
Sumber: Daily Mail