Siakap Keli
mechamato cecah kutipan rm5 juta
Kredit: Nizam Abd Razak

Mechamato Cecah Kutipan RM5 Juta Dalam Masa Tiga Hari

Filem animasi Mechamato Movie mencetuskan fenomena tersendiri selepas berjaya meraih kutipan tiket sebanyak RM5 juta hanya dalam masa tiga hari selepas ditayangkan di seluruh negara termasuk Brunei.

Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios (Monsta), Nizam Abd Razak berkata pihaknya tidak menyangka filem itu akan mendapat sambutan dalam masa yang singkat ekoran ia merupakan jenama baharu syarikatnya, tidak seperti BoBoiboy.

“Baru setahun Mechamato Series ditayangkan di Cartoon Network dan dua bulan ditayangkan di Netflix, tetapi sambutan #MechamatoMovie memang memberangsangkan.

“Demam Mechamato memang betul-betul dapat dirasai. Dengar kata ada yang bersilat selepas keluar panggung,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Ujarnya, beliau berharap Mechamato Movie akan mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa pada tahun 2023 seperti BoBoiboy yang berjaya tembusi pasaran luar negara.

“Kami bersyukur ramai yang menyokong dan menonton #MechamatoMovie. Jutaan terima kasih pada semua. Mohon juga untuk doakan kejayaan filem ini di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa pada 2023 kelak,” tambah Nizam lagi.

Difahamkan juga, Mechamato Movie mula ditayangkan di pawagam di seluruh negara bermula 8 Disember lalu.

Mechamato Movie menceritakan kisah seorang lelaki yang bernama Amato, di mana dia menjumpai sebuah kapal angkasa yang membawa robot jahat terhempas di bumi.

Robot dikenali Mechabot itu mempunyai kebolehan untuk menjadikan sesuatu objek sebagai alat berteknologi tinggi.

Sumber: Nizam Abd Razak/Facebook

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini