Siakap Keli
siling bazar dataran pahlawan runtuh
Gambar: BERNAMA

Siling Bazar Kraftangan Dataran Pahlawan Runtuh, Pekerja Sempat Larikan Diri

MELAKA, 12 Dis (Bernama) — Seorang pekerja kedai bersama pelanggan dan bayinya nyaris cedera dihempap runtuhan siling di Bazar Kraftangan Dataran Pahlawan Megamall di Banda Hilir dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam tadi.

Pekerja kedai, Mustapa Seman, 45, berkata kejadian itu berlaku ketika hampir semua peniaga mulai beredar dan menutup gerai masing-masing namun dia masih berada di situ melayani pelanggan sebelum terdengar bunyi rekahan dan melihat beberapa serpihan kecil siling mulai jatuh.

“Saya sempat menjengah ke kawasan itu selepas beberapa minit pelanggan terakhir beredar, kemudian segera keluar ke pintu berdekatan dan melihat siling itu mulai runtuh secara tiba-tiba dan rasa amat bersyukur kerana tiada siapa yang cedera dalam kejadian tersebut.

“Sebelum ini, memang saya ada terdengar bunyi sama kerana menyangkakan ia perkara biasa berlaku berikutan kawasan padang di atas tempat kami berniaga dijadikan kawasan tempat meletak kenderaan valet,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, tular satu video rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 23 saat di media sosial mengenai kejadian itu malam tadi yang memperlihatkan seorang lelaki nyaris terkena runtuhan siling berkenaan.

Seorang lagi peniaga, Abdul Halim Embi, 55, berkata sebelum ini peniaga membuat lebih 10 aduan sejak tiga tahun lepas mengenai keadaan dan kerosakan di kawasan perniagaan itu namun masih belum ada tindakan daripada pihak pengurusan.

Beliau mendakwa masalah itu dipercayai berpunca daripada kebocoran saluran paip pembentungan di kawasan bazar di bawah tanah pusat beli-belah yang menempatkan 70 peniaga.

“Syukurlah tiada kemalangan jiwa berlaku dan kita berharap pihak pengurusan lebih prihatin seterusnya dapat mengatasi masalah ini dengan segera kerana ia semakin teruk sejak kawasan padang di bahagian atas dijadikan parkir valet seterusnya menyebabkan gegaran dan memburukkan lagi keadaan.

“Kami membayar sewa bulanan sebanyak RM250 dan kos selenggaraan RM180 jadi kami berharap hal ini dapat diselesaikan kerana kami mencari rezeki di sini lebih-lebih lagi ketika musim cuti persekolahan yang pastinya lebih ramai pelancong datang dan menambah pendapatan selain memulihkan perniagaan kami yang terjejas teruk dalam dua tahun lepas,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu Pegawai Bomba Kanan II Hairuddin Atan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 10 pagi tadi dan satu jentera bersama tujuh anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata pihaknya membuat pemeriksaan dan mendapati ada terdapat runtuhan pada siling yang melibatkan kawasan seluas 25 x 30 kaki serta memastikan tiada bahaya di kawasan itu.

“Bomba juga memberi nasihat kepada peniaga membuat pembersihan segera gantungan pada siling agarmereka dapat memulakan perniagaan semula dan tiada runtuhan kedua berlaku.

“Keadaan ini mungkin berlaku disebabkan cuaca hujan dan air bertangkung pada siling, beban itu menyebabkan siling pada bangunan runtuh, selain pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) juga hadir melakukan pemeriksaan serta akan melakukan pembersihan dan memastikan tiada bahaya di kawasan itu,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana