Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Perjalanan menunaikan ibadah haji bukan sekadar memenuhi rukun Islam, tetapi turut menjadi perjalanan penuh pengorbanan, harapan dan doa.
Dalam jutaan manusia yang hadir sebagai tetamu Allah, terselit juga kisah-kisah menyentuh hati yang meninggalkan kesan mendalam buat kita semua.
Seperti yang dikongsikan oleh pembimbing ibadah haji di Tanah Suci, Ustaz Haji Mohd Firdaus Mohd Salleh mengenai kisah kasut yang dipakai oleh seorang jemaah.

Mungkin jika dilihat dari kejauhan, ia hanya sepasang kasut yang terang warnanya. Namun kasut itu menyimpan kisah pilu seorang ibu yang tidak sempat menunaikan haji bersama arwah anaknya.
Kongsi Ustaz Firdaus, itu merupakan salah satu pengalaman yang meruntun jiwanya selama bertugas dengan Tabung Haji.
"Saya ditugaskan untuk jaga jemaah untuk umrah pertama. Jadi kita kena jaga sebelum tawaf, selepas tawaf dan sebelum pergi tempat saie.
"Waktu itu saya tegur-tegur jemaah berkenaan dengan tutup bahu, jaga arah mana nak pergi tempat saie dan kebetulan masa itu saya tengok ada jemaah dia nak pakai kasut.
"Dia kata Ustaz kasut saya bersih, boleh tak saya pakai?," jelasnya kepada SK.

Ketika jemaah itu sedang memakai kasut, Ustaz Firdaus tergerak hati untuk bertanya mengenai kasut itu kerana ia kelihatan unik berbanding kasut jemaah lain.
"Tengah dia pakai itu saya nampaklah dia pakai kasut yang orang kata jaranglah kita nampak jemaah pakai kasut macam tu. Warnanya juga agak menyerlah.
"Jadi saya tegur Hajah cantik kasut. Kemudian dia kata, kasut ini anak saya yang bagi. Tapi anak saya tak boleh pergi sekali," katanya.
Ujar jemaah itu lagi, anaknya meninggal dunia sebelum sempat berangkat ke Tanah Suci.
Lebih memilukan apabila kasut yang dipakainya itu merupakan hadiah pemberian anaknya.
"Anak saya meninggal sebelum pergi haji ini. Patutnya dia pergi dengan saya. Sekarang ini anak itu dah tak dapat ikut saya dah. Dah meninggal, saya tak ada teman dah.
"Saya pergi sorang. Tapi dapatlah pakai kasut hadiah dia, barang-barang yang dia beli sebelum haji," kongsi jemaah itu.
Tetapi apa yang lebih menyentuh hati Ustaz Firdaus adalah tindakan rakan-rakan jemaah itu yang memegang tangan dan memberikan kata-kata penuh makna buatnya.
"Kau jangan cakap tak ada teman, kita oranglah teman kau," kata rakan-rakan jemaah itu.
Ustaz Firdaus berkata, walaupun anak jemaah itu tidak dapat bersama, namun pahala tetap diperolehinya asbab dari kasut dan barangan yang dibeli.
"Arwah sama-sama dapat kebaikan sebab dia sumbangkan (kasut dan barang).
"Jadi bukan arwah tak teman, secara zahir mungkin tak, tapi InshaAllah pahala itu tetap akan sampai kepada arwah," katanya.
Ustaz Firdaus juga sedar bahawa momen itu merupakan salah satu takdir Allah yang menginginkan agar kita semua mendapat ibrah darinya.

"Allah nak takdirkan saya tertanya benda itu. Sedangkan jemaah lain saya tak tanya pun kasut selipar dia.
"Allah nak gerakkan dan mungkin untuk disampaikan kepada semua. Sebab kemampuan itu bukan dari sudut kewangan.
"Mungkin Allah dah panggil, mungkin Allah bagi tak sempat untuk pergi dan ada orang yang tak mampu," katanya lagi.
Dari kisah ini, kita dapat mendalami bahawa sesungguhnya setiap apa yang berlaku adalah ketetapan dari Allah SWT.
Walaupun mungkin kita tidak sampai ke tujuan yang diinginkan, namun pengorbanan dan proses yang kita tempuh tetap dipandang olehNya.