Hasrat seorang wanita bakal pengantin yang akan melangsungkan perkahwinan kira-kira dua minggu lagi tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan melibatkan lori 18 tayar dan kereta di Nakhon Nayok, Thailand baru-baru ini.
Mangsa, 27 tahun yang difahamkan bakal berkahwin pada 25 Disember ini maut ketika menunggu tunangnya, 30 tahun menjemputnya pulang dari tempat kerja dari sebuah kilang di Jalan Lebuhraya Persekutuan No.33.
Imbas kembali kejadian, segalanya bermula apabila mangsa ketika itu sedang menunggu (berdiri) tunangnya datang menjemput di depan kilang tempat dia bekerja.
Namun tidak diduga, pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero Sport milik tunangnya yang hampir tiba di lokasi menunggu telah dirempuh oleh sebuah lori panjang 18 tayar dari arah belakang.
Disebabkan rempuhan itu, pacuan empat roda tersebut telah bergerak laju dan melanggar mangsa yang sedang menunggu di tepi jalan secara tidak sengaja.
Lelaki (tunang) itu bergegas keluar dari keretanya untuk memeriksa keadaan mangsa, namun malangnya mangsa dilaporkan sudah meninggal dunia di tempat kejadian.
Dalam keadaan itu, lelaki tersebut hanya mampu memeluk mayat mangsa dan menangis meratapi pemergiannya sekelip mata.
Difahamkan lelaki itu hanya mengalami cedera ringan, dalam masa sama seorang wanita berusia 48 tahun yang sedang menunggang motosikal berhampiran tempat kejadian turut tercedera.
Sementara itu, suspek, 46 tahun berkata sebelum kejadian, dia memotong beberapa kenderaan lain sehingga menyebabkan pemanduan lorinya hilang kawalan.
Malah menurut laporan, hasil ujian alkohol mendapati suspek mempunyai lebih 66 miligram (mg) kadar alkohol dalam darahnya.
Sehubungan itu, suspek didakwa mengikut Seksyen 43(2) Akta Trafik Darat (Thailand) iaitu mabuk dengan alkohol atau minuman keras semasa memandu.
Dengan itu, suspek berdepan dengan hukuman penjara selama setahun, denda RM600 (5,000 baht) hingga RM2,600 (20,000 baht) atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
Selain itu, suspek juga didakwa di bawah Seksyen 291 Undang-undang Jenayah iaitu memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian, kecederaan dan kehilangan aset.
Sekiranya terbukti bersalah, suspek boleh disabitkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM26,000 (200,000 baht).
‘…bakal melangsungkan perkahwinan pada Hari Krismas, 25 Disember’
Menurut Thaiger, tunang mangsa memaklumkan bahawa mereka berdua bakal melangsungkan perkahwinan pada Hari Krismas iaitu 25 Disember ini.
Difahamkan, mereka telah berkenalan dan bercinta sejak 10 tahun lalu dan tidak pernah berpisah setakat ini.
Malah mereka juga sentiasa bersama walaupun ke mana-mana dan disebabkan itu, lelaki tersebut begitu sedih dan tidak dapat membayangkan kehidupannya tanpa bakal isterinya itu kelak.
Sementara itu kakak mangsa berkata mereka merupakan pasangan bahagia malah telah bersama-sama menabung untuk membeli rumah dan merancang perkahwinan.
Tidak hanya itu, studio perkahwinan juga menghantar video kepada tunang mangsa ketika mereka mencuba gaun pengantin sebagai peringatan tentang hari bahagia mereka.
Sumber: Thaiger