Siakap Keli
Berpuluh Tahun Cari Kubur Bapa
Gambar: BBC

Lelaki Dari India Berpuluh Tahun Cari Kubur Bapa, Akhirnya Jumpa Di Malaysia

Lelaki Dari India Berpuluh Tahun Cari Kubur Bapa, Akhirnya Jumpa Di Malaysia

Seorang lelaki India yang kematian bapanya ketika berusia enam bulan berusaha keras mencari dan melawat kubur bapanya yang terletak beribu-ribu kilometer di negara lain, lapor BBC.

Jika anda bertanya kepada Mr. Thirumaran tentang kenangan bersama bapanya, tidak banyak yang boleh dia katakan dan wajah bapanya juga tidak diingati.

Bapanya, K Ramasundaram, merupakan seorang guru sekolah di Malaysia dan meninggal dunia akibat radang paru-paru pada tahun 1967, enam bulan selepas kelahiran Mr. Thirumaran.

Selepas pemergian bapanya, Mr. Thirumaran dan ibunya kembali ke Tamil Nadu di selatan India pada tahun yang sama.

Pada tahun 1987, ibu Mr. Thirumaran pula telah meninggal dunia sewaktu dia berumur 22 tahun.

Selama bertahun-tahun, dia memegang beberapa pucuk surat lama yang ditulis oleh bapanya dan diturunkan oleh ibunya. Dia diberitahu bahawa bapanya merupakan seorang yang hebat dan penyanyi yang baik.

Baca: “Boleh Dapat Pampasan Sehingga..,” Ketahui Hak Lelaki Jika Jadi Mangsa Gangguan Seksual

Sebelum pemergiannya 35 tahun lalu, ibu Mr. Thirumaran telah berkongsi satu lagi butiran penting mengenai suaminya iaitu lokasi kuburnya di bandar Kerling, Malaysia.

Mr. Thirumaran yang kini berusia 55 tahun dan seorang aktivis yang menguruskan sekolah untuk kanak-kanak yang diselamatkan daripada menjadi buruh di daerah Tirunelveli, Tamil Nadu, memutuskan untuk pergi mencari kubur bapanya pada November.

“Saya sering berfikir bahawa saya mesti melawat bapa saya, tetapi saya tidak memikirkan secara serius, sehingga kini,” kata Mr. Thirumaran.

Bermula dengan carian di Google

Gambar: BBC

Mr. Thirumaran memulakan pencariannya dengan mencari nama sekolah bapanya, tetapi selain daripada namanya, dia tidak tahu apa-apa tentang insitut tersebut.

Bapanya, Ramasundaram mengajar subjek bahasa Inggeris di Thotta Thesiya Vakai Tamil Palli, sebuah sekolah kecil yang dikendalikan oleh masyarakat Tamil di Kerling.

Oleh itu, Mr. Thirumaran telah meminta pertolongan daripada pelajarnya untuk mencari sekolah tersebut di Google.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk mengendalikan komputer. Jadi, pelajar saya menunjukkan gambar sekolah kepada saya,” kata Mr. Thirumaran.

Dia juga mendapati sekolah berkenaan telah dipindahkan ke lokasi lain, jadi dia menghantar e-mel kepada pengetua sekolah untuk mendapatkan bantuan.

Melalui pentadbiran sekolah, Mr.Thirumaran telah mendapat beberapa kenalan bekas pelajar bapanya yang masih tinggal di Malaysia dan menghubungi mereka.

Dalam beberapa hari berikutnya, beberapa daripada mereka menawarkan untuk pergi mencari kubur bapanya bersama-sama.

Mr. Thirumaran berkata beliau terkejut melihat pelajar bapanya yang kini berusia 80-an bercakap mengenai bapanya.

“Seorang daripada mereka memberitahu saya bagaimana bapa saya membelikannya basikal untuk pergi ke sekolah dan kolej. Seorang lagi berkata, apabila dia ketinggalan dalam pelajaran, bapa saya membantunya dengan baik,” katanya.

“Apabila saya mendengar semua ini, saya menyedari apa yang saya telah hilang dalam hidup saya sendiri,” katanya lagi.

Temui kubur di semak

Gambar: BBC

Selepas beberapa orang bekas pelajar bapanya di Malaysia menemui kubur itu, mereka memaklumkan kepada Mr. Thirumaran.

Pada 8 November, Mr. Thirumaran menuju ke Malaysia untuk melihat kawasan perkuburan bapanya.

Dia melangkah ke tanah perkuburan lama di Kerling, tersembunyi di dalam rimbunan pokok, dan berjalan mengelilingi banyak batu nisan sehingga sampai ke satu nisan yang berhampiran dengan semak. Ia adalah milik bapanya.

“Kubur itu sedikit usang dan dipenuhi rumput liar, tetapi batu nisan itu masih mempunyai gambar, nama, tarikh lahir serta tarikh kematiannya,” kata Mr. Thirumaran.

Sewaktu ibu Mr. Thirumaran pulang ke India, dia telah membawa pulang segenggam tanah dari kubur suaminya dan Mr. Thirumaran telah menaburkan ke atas kubur ibunya.

“Kali ini, saya mengambil segenggam tanah dari kubur ibu saya dan meletakkannya di atas kubur ayah saya,” kata Mr. Thirumaran yang penuh emosi.

“Ia seolah-olah mereka berkongsi cinta mereka melalui saya, walaupun selepas kematian,” katanya lagi.

Dalam beberapa hari berikutnya, Mr. Thirumaran membersihkan kubur, menyalakan lilin dan berdoa beberapa kali dengan bantuan pelajar lama bapanya sebelum pulang ke India pada 16 November.

Gambar: BBC

Menurutnya, perjalanannya itu memberi lebih daripada apa yang dibayangkan dalam bentuk kenangan yang tidak ternilai, termasuk gambar lama bapanya.

“Pelajarnya memberitahu saya bahawa saya kelihatan seperti dia. Bagi seorang budak lelaki yang membesar tanpa bapanya, ini adalah kehidupan yang akan datang sepenuhnya,” kata Mr. Thirumaran.

Kisahnya telah menarik perhatian Ketua Menteri Tamil Nadu, MK Stalin, yang menulis satu ciapan bahawa perjalanan Mr. Thirumaran dengan caranya dibantu oleh orang lain sepanjang perjalanan adalah identiti budaya unik orang Tamil.

“Manusia adalah lautan emosi. Saya merasakan pencarian Thirumaran terhadap kubur bapanya adalah pencarian hidupnya,” tambah MK Stalin dalam kenyataannya di Twitter.

Sumber: BBC

Noorliyana Ishak