Sejuk Lain Macam, Suhu Rendah Dicatatkan Di Beberapa Ibu Kota Negara ASEAN Pagi Ini
Ibu kota negara-negara ASEAN dilapor mencatatkan suhu rendah dalam lingkungan 12-26 darjah Celsius, lapor ASEAN Skyline.
Beberapa minggu lalu, media melaporkan negara kita dijangka bakal mengalami ‘musim sejuk’ bermula akhir November sehingga Februari tahun depan.
Seperti yang dilaporkan di Siakap Keli, fenomena cuaca dingin ini merupakan susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang melibatkan perubahan angin sejuk dari tanah besar China dan juga pembentukan awan hujan yang berterusan bermula awal November.
Selain Malaysia, beberapa negara di wilayah Asia Tenggara turut mengalami perkara yang serupa. Menurut ASEAN Skyline, suhu di ibu kota negara-negara ASEAN mengalami penurunan suhu secara drastik.
Sebagi contoh, di Hanoi, Vietnam mencatatkan bacaan suhu serendah 12 darjah Celsius. Manakala di Viantiane, Laos pula mencatatkan suhu serendah 15 darjah Celsius dan di Phnom Penh, Kemboja memberikan bacaan suhu serendah 20 darjah Celsius.
Bacaan suhu yang lebih tinggi dicatatkan di negara-negara ASEAN yang berdekatan dengan garisan Khatulistiwa. Misalnya, Kuala Lumpur, Malaysia (23 darjah Celsius), Bandar Seri Begawan, Brunei (23 darjah Celsius), Jakarta, Indonesia (24 darjah Cescius), Singapura (24 darjah Celsius) dan Manila, Filipina (26 darjah Celsius).
Selain itu, beberapa negara ASEAN lain turut mencatatkan penurunan suhu yang agak ketara seperti, Bangkok, Thailand (19 darjah Celsius) dan Nay Pyi Taw, Myanmar (21 darjah Celsius)
Sebelum ini, Pakar Meteorologi Universiti Malaya Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata angin dari China itu memasuki Malaysia bermula awal November dan boleh menyebabkan suhu serendah 22 darjah Celsius.
Beliau mengatakan bahawa musim Monsun Timur Laut ini memberi kesan kepada jumlah cahaya matahari yang diterima di Malaysia yang berkurang selain faktor cuaca mendung dan hujan, lapor Bernama.
Tambahan pula, faktor sejuk yang dialami ini juga berikutan angin Timur Laut yang dibawa dari Siberia.