Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Mekanik Dedah Bahaya Suhu Kereta Naik, Ini Mungkin Puncanya
Dalam kehidupan seharian, kereta bukan hanya sekadar alat pengangkutan, namun ia turut menjadi satu keperluan penting yang memudahkan urusan.
Daripada urusan kerja, menghantar ahli keluarga sehinggalah merancang perjalanan yang jauh. Kereta juga turut memainkan peranan yang amat besar dalam menentukan keselesaan dan kelancaran hidup seseorang.
Namun begitu, sekiranya anda tidak menjaga kereta dengan baik, risiko untuk kereta anda mengalami kerosakan dan gangguan teknikal amatlah tinggi.
Oleh itu, penting untuk setiap pengguna mengetahui setiap komponen dalaman kereta. Sebagai contoh, sekiranya anda menggunakan kereta anda secara berterusan, kemungkinan suhu kereta anda boleh meningkat.
Suhu yang terlampau tinggi mampu menyebabkan enjin menjadi terlalu panas dan menyebabkan komponen tertentu menjadi haus ataupun rosak.
Jika perkara ini berlaku, anda sewajarnya tahu bagaimana cara untuk menguruskannya supaya enjin kereta anda terus terjaga. Jadi, untuk mengetahui maklumat yang lebih lanjut, ikuti perkongsian daripada @altimatautogarage di bawah ini.
Jika anda sedang memandu kereta dan tiba-tiba lampu simbol suhu kereta anda menunjukkan kelipan berwarna merah ataupun menunjukkan lambang H (Hot), itu menandakan anda perlu segera menghentikan kenderaan anda.
“Kalau nampak meter dah tunjuk H (Hot) atau lampu berkelip, maksudnya suhu kereta anda semakin naik,” kongsi mekanik tersebut.
Sekiranya anda masih ingin meneruskan perjalanan, anda perlu tahu risiko yang bakal berlaku, misalnya berlaku letupan di bahagian radiator tersebut.
Punca utama yang menyebabkan suhu kereta anda naik adalah disebabkan oleh radiator.
“Hos radiator ni daripada getah, jadi lama-lama ia akan reput, pecah. Tambahan pula apabila air panas yang melalui hos tersebut setiap hari akan menyebabkan hos tersebut boleh menjadi haus dan lembik,” tambahnya lagi.
Selain itu, kelonggaran clamp pada bahagian hos itu juga boleh menyebabkan berlakunya kebocoran.
Apabila berlaku kebocoran, coolant pula akan menitik dan menyebabkan ia semakin berkurang jika terus dibiarkan.
“Jadi, apabila coolant tersebut berkurang, ia tidak lagi mampu untuk menyejukkan enjin,” ujarnya.
Maka, disebabkan coolant tersebut tidak mampu untuk menyejukkan enjin tersebut, ia mendorong kepada suhu naik.
Oleh sebab itu, anda disarankan untuk berhenti dahulu dan matikan enjin dan tunggu sehingga ia betul-betul sejuk.
Untuk jaga radiator anda pula, anda dinasihatkan untuk memakai coolant kerana ia mempunyai bahan anti karat. Karat itu juga kadangkala boleh menyebabkan hos radiator menjadi bocor
Jadi, untuk semua pemandu di luar sana, anda disarankan untuk sentiasa cakna dengan keadaan kereta anda dan sekiranya anda mendapati enjin kereta anda sudah panas dan menunjukkan apa-apa tanda berlaku kerosakan, segera periksa kereta anda.
Sumber: @altimatautogarage