Siakap Keli
basmi kemiskinan tumpuan rafizi
Gambar: tangkap layar video TikTok Rafizi

Basmi Kemiskinan Tegar Antara Tumpuan Kini Rafizi, Akan ‘Update’ Pelaksanaan Setiap Minggu

Basmi Kemiskinan Antara Tumpuan Rafizi

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata beliau akan memberikan tumpuan dalam mempercepat dan menambah baik program kerajaan bagi membasmi kemiskinan tegar yang membelenggu rakyat di seluruh negara.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, memberi kemas kini mingguan mengenai fungsi dan pelaksanaan perkara selepas 10 hari menerajui Kementerian Ekonomi.

“Tumpuan saya dalam bulan pertama ini ialah mempercepat dan menambah baik program basmi kemiskinan tegar di seluruh negara supaya kita jaga golongan yang paling tertekan, sementara kita memperkenalkan inisiatif ekonomi kepada golongan-golongan lain.

“Sebahagian besar dari kawasan miskin tegar ini adalah dari negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Perlis, Sabah dan Sarawak.

“Oleh itu, banyak sumber dan masa Kerajaan Persekutuan adalah untuk membantu masyarakat di negeri-negeri ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Bagi 10 hari yang pertama, Rafizi berkata beliau juga akan memberi tumpuan memahami projek-projek dan perancangan jangka panjang terutamanya dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Secara amnya, Kementerian Ekonomi bertanggungjawab terhadap perancangan jangka panjang ekonomi negara.

“Selain menetapkan dasar dan menyelaras pelaksanaan di peringkat pelbagai kementerian agar hala tuju ekonomi negara bergerak ke arah negara berpendapatan tinggi, Kementerian Ekonomi juga bertanggungjawab mengendali dan mengawal selia pelaksanaan projek-projek pembangunan di seluruh negara.

“Selain daripada itu juga, saya banyak memberi tumpuan kepada memahami persediaan keupayaan kita dari segi data ke arah kita mengimbangi keperluan untuk kita memberikan subsidi bersasar dan juga kemampuan kewangan,” kata Rafizi dalam satu video yang dikongsi.

Beliau juga berkata akan memaklumkan kemas kini secara mingguan mengenai tugasan dan perancangan Kementerian Ekonomi.

“InsyaAllah dengan perancangan ekonomi yang lebih baik, kehidupan penduduk di kawasan bandar juga akan bertambah baik.

“Saya akan beri kemas kini mingguan dan mulai Januari 2023, akan beri laporan prestasi program basmi miskin tegar secara bulanan yang disiarkan di media sosial,” tambahnya.

Sumber: Rafizi Ramli/Facebook

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana