Siakap Keli
satukan gambar bersama ibu
Kredit: FB Muhammad Najmie

Arwah Ibu Meninggal Seawal Usia 3 Tahun, Lelaki Minta Warganet ‘Satukan’ Mereka Dalam Gambar & Ini Hasilnya

Sekiranya anda seorang pengguna Facebook yang tegar, pastinya akan mengetahui kewujudan kumpulan Facebook seperti Edit Apa Hari Ini? yang sering menjadi tempat untuk warganet berkarya.

Rata-rata ramai yang secara sukarela meletakkan gambar di kumpulan Facebook itu supaya dapat disunting secara percuma dan semestinya, apa yang diminta tidak ditunaikan oleh penyunting secara serius.

Ada yang suka sunting jadi gambar yang lebih kelakar hingga membuatkan ramai tergelak tidak kering gusi. Malah hampir semua gambar yang disunting pasti mengundang rasa terhibur.

Tetapi tidak semua permintaan diambil remeh, lebih-lebih lagi jika melibatkan nilai sentimental seperti kematian, bentuk badan dan seumpamanya. Di saat itu, rakyat Malaysia menjadi prihatin dan menunaikan permintaan pemilik gambar.

Hari ini, seorang lelaki diberi nama Muhammad Najmie membuat satu hantaran di kumpulan itu dengan menyatakan hasratnya untuk berada dalam satu gambar, di sebelah ibunya.

“Semua, tolong edit gambar aku duduk sebelah arwah ibu aku, sempena hari ini hari lahir dia. Aku tiada idea buat macam mana.

“Aku nak save buat kenangan, sebab aku tiada gambar kenangan bersama dia, sebab dia pergi masa aku kecil, 3 tahun,” tulis hantaran itu.

Muhammad Najmie mengepilkan gambar arwah ibunya yang sedang berdiri di sebelah televisyen bersama gambar dirinya yang sedang duduk di sebuah restoran makanan segera.

Kredit: Facebook

Hantaran tersebut meraih kira-kira 7,500 tanda suka, mendapat 882 komen dan hampir 61 perkongsian dibuat oleh orang ramai setakat artikel ini ditulis.

Suasana hiba mula dirasai, semua pengguna media sosial nampaknya faham dengan ‘tugasan’ yang diberi dan menyunting gambar itu seperti yang diminta.

Warga Maya Berkarya

Segelintir pengguna Facebook merealisasikan hasrat Muhammad Najmie dengan meletakkannya dalam satu gambar bersama arwah ibunya. Boleh dikatakan ramai yang mempunyai bakat besar kerana gambar yang disunting persis seperti gambar asal yang tidak pernah disentuh.

Warganet bernama Yok Kidal, memaparkan kreativitinya dengan mempamerkan setiap butiran yang ada di wajah Muhammad Najmie dan ibunya.

“Okay siap permintaan ditunai,” demikian merupakan maklum balasnya kepada pemilik gambar itu.

Kredit: Yok Kidal

Mengakui berasa sebak semasa menyunting, Fitri Zulkarnain berkata air matanya turut menitik ketika menyatukan gambar mereka berdua.

Kredit: Fitri Zulkarnain

Ada juga yang turut memberi kelainan, dengan menyunting gambar menjadikan Muhammad Najmie kecil seperti yang dibuat oleh Fadzlin Shahzaril dengan kapsyen berbentuk ‘Kita selalu menjadi anak di mata mereka. Semoga Allah ampuni dan rahmati ibunda Tuan’.

Kredit: Fadzlin Shahzaril

Dalam pada itu, Sutina Phang menyunting gambar dengan melaraskan usia ibunya pada ketika ini sekiranya masih hidup.

Kredit: Sutina Phang

Sementara itu, Muhammad Najmie yang tidak menyangka hantarannya akan menarik perhatian ramai mengucapkan terima kasih kepada awam kerana menyunting gambarnya.

“Terima kasih banyak semua. Tak terkata pula saya tengok respon group ini. Semoga Allah kabulkan segala doa semua buat arwah ibu saya,” katanya.

Kredit: Muhammad Najmie

Sejujurnya rakyat Malaysia ramai mempunyai sifat simpati dan prihatin yang banyak sekiranya melibatkan perkara yang sedemikian. Bagi mereka yang mahukan sedikit hiburan atau tangisan, boleh juga melawat kumpulan Facebook itu agar hari bertambah ceria.

Sumber: Edit Apa Hari Ini/Facebook

BACA JUGA: Harta Si Mati Tak Boleh Difaraidkan Sebelum Waris Tunaikan Badal Haji? Ini Penjelasan Mufti

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana