Buat Penampilan Istimewa, Ramai Teruja Tengok Siti Nurhaliza Sampaikan Laporan Cuaca
Datuk Seri Siti Nurhaliza atau lebih mesra dengan panggilan TokTi telah membuat kemunculan istimewa dengan menyampaikan laporan cuaca di slot Berita Wilayah pada jam 5 petang serta slot Berita Perdana RTM pada jam 8 malam tadi.
Menerusi video yang dimuat naik Jabatan Meteorologi Malaysia di YouTube, TokTi telah melaporkan mengenai keadaan cuaca terkini dan informasi berkaitan Monsun Timur Laut (MTL).
“Diingatkan hujan lebat secara berterusan boleh mengakibatkan banjir. Jadi, anda harus bersedia dengan sebarang kemungkinan yang boleh berlaku,” kata beliau sewaktu menyampaikan teks beritanya.
Sementara itu, TokTi menerusi Instagram miliknya berkata bahawa kolaborasi tersebut diharapkan dapat menggalakkan masyarakat untuk cakna mengenai keadaan cuaca semasa.
“Alhamdulillah, terima kasih Met Malaysia menjemput saya berkolaborasi dengan menyampaikan ramalan dan keadaan cuaca pada 21 Disember 2022.
“Kolaborasi itu diharap dapat menggalakkan orang ramai mengikuti keadaan cuaca dan bertindak mengikut nasihat berkaitan risiko bencana seperti banjir, angin kencang dan laut bergelora,” katanya.
Dengan kemerduan suara yang dimiliki olehnya, ia membuatkan ramai teruja apabila menyaksikan kemunculan khas penyanyi itu sebagai penyampai berita cuaca.
Malah, sedutan video laporan cuaca tersebut juga tular di laman Twitter malam ini.


Sumber: MET Malaysia