Gagal Dihubungi, Misi Robot Pendarat InSight NASA Di Marikh Dihentikan
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) secara rasmi telah mengumumkan penamatan misi pendarat robotik InSight pada Rabu lalu.
Menurut NASA, InSight gagal dihubungi dalam dua percubaan berturut-turut yang dilakukan oleh pihak mereka.
InSight atau lebih dikenali sebagai Misi Penerokaan Dalaman menggunakan Penyiasatan Seismik, Geodesi dan Pengangkutan Haba akhirnya menamatkan perkhidmatannya selama lebih 4 tahun selepas ia mula mendarat pada 26 November 2018.
Pun begitu, InSight dilaporkan berkomunikasi kali terakhir dengan Bumi pada 15 Disember yang lalu.
Pegawai misi di Makmal Penggerak Jet (JPL) turut menyimpulkan bahawa bateri berkuasa solar kapal angkasa itu telah kehabisan tenaga.
Dalam pada itu, pentadbir bersekutu Misi Sains NASA di Washington, Thomas Zurbuchen berkata berita mengenai penamatan kapal angkasa itu adalah berita yang menyedihkan.
“Saya menyaksikan pelancaran dan pendaratan misi ini, amat sedih untuk mengucapkan selamat tinggal kepada kapal angkasa InSight.
“Data seismik dari misi Program Penemuan ini sahaja sudah memberikan pandangan yang luar biasa, bukan sahaja mengenai Marikh namun beberapa perkara lain termasuklah Bumi.” jelasnya.
Sepanjang empat tahun yang lalu, data pendarat telah menghasilkan butiran mengenai lapisan dalaman Marikh, saki-baki yang berada di bawah permukaan dinamo magnet yang telah pupus, cuaca di Marikh dan beberapa aktiviti lain.
Menurut penyelidik utama misi dari JPL, Bruce Banerdt, dia sudah menganggap Insight sebagai rakan sekerjanya semasa melakukan misi itu.
“Kami telah menganggap InSight sebagai rakan sekerja kami di Marikh selama empat tahun yang lalu, jadi sukar untuk mengucapkan selamat tinggal,” katanya.
Menerusi perkongsian NASA di Twitter, walaupun Insight sudah ‘bersara’, namun warisan dan penemuan yang dilakukan oleh pendarat InSight akan sentiasa kekal di laman web rasmi NASA.
After more than four years, 1,300 marsquakes, and countless scientific discoveries, our @NASAInSight lander has reached the end of its mission.
InSight may be retiring, but its legacy—and its findings from the deep interior of Mars—will live on: https://t.co/8884Slrbxr pic.twitter.com/UKozd4P28g
— NASA (@NASA) December 21, 2022
Sumber: NASA