Kediaman Bawah RM300k Di Putrajaya Diberikan Potongan Cukai Taksiran 30 Peratus Mulai 1 Jan 2023 – PM
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa semua kediaman yang berharga di bawah RM300 ribu akan diberikan potongan sebanyak 30 peratus dari jumlah taksiran yang dikenakan.
Menurutnya, pengurangan tersebut selaras dengan hasrat Kerajaan Perpaduan untuk mengurangkan bebanan rakyat terutamanya yang melibatkan golongan M40 dan B40 yang memiliki kediaman mampu milik di Putrajaya.
“Saya mendengar rungutan dan pandangan daripada penduduk di Putrajaya bahawa cukai taksiran yang dikenakan ke atas premis kediaman mereka agak tinggi berbanding kawasan sekitarnya.
“Setelah mendapat penerangan lanjut daripada pihak berwajib, saya bersetuju bahawa semua kediaman yang berharga di bawah RM300 ribu akan diberikan potongan sebanyak 30 peratus dari jumlah cukai taksiran yang dikenakan,” jelasnya.
Bukan itu sahaja, potongan cukai taksiran itu turut diberikan kepada premis kediaman yang telah siap dibina pada tahun 2017 sehingga kini yang telah melibatkan hampir 8,500 unit kediaman.
Pengurangan cukai taksiran itu akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2023 setelah penilaian semula dilakukan oleh Perbadanan Putrajaya.
Sumber: Bernama TV