Macam Kilang, Penyelidik Dedah Konsep Rahim Buatan, Mampu ‘Hasilkan’ 30,000 Bayi Setahun
Seorang ahli bioteknologi dan penerbit filem yang berpangkalan di Berlin, Jerman, Hashem Al-Ghaili telah mengemukakan sebuah idea tidak masuk akal iaitu ekosistem rahim buatan yang mampu ‘melahirkan’ puluhan ribu bayi setiap tahun.
Dikenali sebagai Ectolife, ekosistem rahim buatan itu bagaimanapun masih diperingkat konsep ketika ini. Namun sekiranya berjaya dicipta atau direalisasikan kelak, ia akan menawarkan peluang kepada ibu bapa untuk menentukan sendiri bayi yang dikehendaki.
Menurut portal The First Post, konsep Ectolife itu mirip sebuah kilang yang menghasilkan produk berdasarkan reka bentuk yang ditentukan oleh pelanggan seperti warna kulit, mata, rambut, ketinggian atau membuang mana-mana penyakit serta menentukan tahap kecerdasan bayi yang dikehendaki.
Al-Ghaili dalam laman webnya berkata, konsep berkenaan dibangunkan hasil penyelidikan komuniti saintis selama 50 tahun di peringkat global.
”Ia mampu ‘mengeluarkan’ seramai 30,000 bayi setiap tahun,” katanya lagi.
Beliau turut menambah, EctoLife itu nanti akan dikuasakan sepenuhnya oleh tenaga boleh diperbaharui dan mempunyai kapasiti 75 makmal dengan setiap makmal mengandungi 400 pod rahim buatan. Pod-pod ini akan dibina untuk menyerupai fungsi rahim semula jadi yang ada pada wanita.
Manakala ibubapa boleh memantau perkembangan bayi masing-masing menerusi tablet yang dipasang pada pod berkenaan yang memaparkan data secara masa nyata. Data yang sama juga boleh diakses melalui satu aplikasi telefon bimbit yang turut akan dibangunkan kelak.
Satu sistem kecerdasan buatan akan dibina untuk memantau dan memerhatikan pengembangan fizikal bayi-bayi ini seperti pembentukan anggota badan yang cacat. Untuk proses kelahiran pula hanya melalui satu butang yang apabila ditekan, akan melepaskan bayi berkenaan keluar dari pod tersebut.
Kata Al-Ghaili, EctoLife akan menawarkan penyelesaian kepada wanita yang terpaksa membuang rahim mereka akibat komplikasi kesihatan dan akan membantu negara yang mengalami penurunan populasi, seperti Korea Selatan, Bulgaria, Jepun dan lain-lain untuk menambah penduduk.
Dia juga percaya, proses pembangunan sistem berkenaan boleh direalisasikan dalam tempoh 10 tahun lagi atau apabila halangan etika sudah dihapuskan.
”Semua fitur dan konsep Ectolife adalah 100 peratus bersandarkan teknologi sains dan sudahpun dibangunkan oleh saintis serta jurutera.
”Apa yang tinggal ketika ini adalah pembangunan prototaip yang menggabungkan semua fitur dan konsep tersebut,” katanya.
Bila tiba waktunya halangan etika dilonggarkan, manusia pada ketika itu sudah bersedia untuk menggunakan teknologi tersebut di masa depan.
Sumber: The Economic Times, Hashem Al-Ghaili via Youtube