Siakap Keli
Kredit: Pixabat & Hello Doktor

“Eiiii, Mesti Kau Ada Intai Sesiapa,” Ketahui Punca Ketumbit Naik Kat Mata & Cara Atasi

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Secara umumnya, ramai yang menjadi sedikit malu ketika bertemu doktor apabila ingin sesi konsultasi mengenai masalah ketumbit pada mata.

Salah satu kerana sejak kecil lagi, apabila ketumbit tumbuh di mata, biasanya ia dikaitkan dengan tabiat suka mengintai orang mandi kan.

Apakah benar masalah ketumbit berpunca daripada tabiat suka mengintai, hingga tuduhan sebegitu dibuat tanpa usul periksa?

Gambar hiasan | Kredit: Pixabay

Jawapannya tidak, perkara tersebut hanya mitos yang direka mungkin untuk menjaga privasi seseorang ketika mandi. Lagi-lagi pada zaman dahulu, tempat mandi biasanya terdedah dan tidaklah semoden hari ini yang tertutup elok. Jadi, masalah ketumbit yang dikaitkan dengan aktiviti mengintai mungkin adalah satu bentuk amaran keras secara lisan kepada kanak-kanak.

Jadi, dari mana datangnya ketumbit ini sebenarnya? Takkan ia datang secara suka-suka sahaja? Ikuti perkongsian seorang doktor di laman Twitter, Dr Samhan (@drsamhan) di bawah:

Ketumbit adalah benjolan yang berlaku pada kelopak mata sama ada pada bahagian atas atau bahagian bawah kelopak mata.

Ada dua jenis ketumbit iaitu hordeoleum (atau stye) dan Chalazion

Hordeolum/stye adalah bisul kecil hasil dari jangkitan kuman staphylococcus ke atas akar (folikal) bulu mata. Ia sakit dan bengkak kemerahan.

Kredit: Hello Doktor

Ketumbit jenis ini selalunya dijumpai pada pesakit seperti kencing manis (diabetes), blepharitis yang kronik (jangkitan pada kelopak mata pada jangka masa lama) dan seborrhea

Manakala Chalazion pula disebabkan kelenjar pada bahagian kelopak mata yang tersumbat. Ia tidak sakit cuma memberikan keadaan bengkak.

Kredit: Hello Doktor

Selalunya, ketumbit jenis Chalazion selalunya terjadi apabila seseorang individu tersebut tidak menjaga kebersihan dengan baik. Misalnya, tidak membersihkan bulu mata setelah penggunaan kosmetik, kurang cakna akan kebersihan kanta lekap dan sebagainta.

Ia juga disebabkan oleh penyakit seborrheic dermatitis, trauma terhadap kelopak mata dan sama seperti hordoleum, blepharitis yang kronik. 

Apakah rawatan ketumbit?

Kebanyakan ketumbit adalah kecil dan ia boleh dirawat di rumah dengan menuam ketumbit beberapa kali sehari.

Sekiranya tidak sembuh selepas dituam, rawatan antibiotik dalam bentuk titisan mungkin diperlukan atas nasihat doktor.

Dalam beberapa kes yang lebih teruk, ketumbit boleh dirawat melalui pembedahan kecil. Dalam pembedahan tersebut, sedikit belahan pada kelopak mata mungkin dilakukan bagi mengeluarkan bahan yang terkandung dalam kelenjar.

Bagi sesiapa yang tidak mengetahui bagaimana cara untuk melakukan tuaman, Dr Samhan telah memberikan cara-caranya seperti berikut:

Pertama sekali, ambil sehelai sapu tangan kecil dan rendam dalam air suam. Setelah merendam dalam air panas, perah sapu tangan tersebut sehingga tiada titisan air yang menitis.

Seterusnya, letakkan di atas kelopak mata dalam keadaan mata tertutup. Lakukan langkah-langkah tersebut selama 10 minit dalam ulang sebanyak 2-3 kali sehari sehingga masalah ketumbit anda reda. 

Kredit: For Home Remedies
Selain itu, Dr. Samhan turut mengajarkan cara-cara untuk mmembersihkan kelopak mata. Anda hanya memerlukan tiga barangan sahaja iaitu cawan atau bekas kecil, sabun bayi dan putik kapas.

Mula-mula, letakkan air bersih yang dicampur dengan sabun bayi dalam cawan atau bekas kecil. Kemudian, celupkan putik kapas ke dalam campuran tadi.  Gunakan putik kapas tersebut untuk mengesat bahagian kelopak mata yang mempunyai bulu mata secara lembut*.

*anda diingatkan untuk tidak mengenakan putik kapas tersebut pada bahagian kornea.

Seperti kaedah tuaman, lakukan langkah-langkah tersebut sebanyak 2 hingga kali sehari untuk menjamin kebersihan mata anda. 

Kredit: Roosevelt Vision

Kesimpulannya, penjagaan kebersihan mata yang mantap dapat melindunginya daripada bendasing yang boleh mencetuskan penyakit. Selepas ini, tiada orang akan menuduh anda ‘kaki skodeng’ jika mata anda bersih dan sihat.

BACA: “Mak, Tak Nampak Pun Benda Tu…”, Pelbagai Jenis Masalah Penglihatan, Ini Antaranya Boleh Mengakibatkan Buta

Sumber: @drsamhan via Twitter

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma