Siakap Keli
rafizi
Gambar hiasan | Bernama

Harga Ayam: “Jangan Bimbang Kami Dah Ada Plan” – Rafizi

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan rakyat perlu bekerjasama dalam memperbaiki keanjalan saling kait harga dan bekalan dalam usaha menangani inflasi pada masa akan datang.

Dalam masa sama, beliau tidak menafikan bahawa kementeriannya kini sudah ada perancangan selanjutnya dalam mendepani krisis kenaikan harga ayam.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan mengenai dakwaan yang memohon rakyat untuk berhenti makan ayam hingga mencetuskan pelbagai spekulasi baru-baru ini.

“Saya bercakap mengenai keperluan untuk sama-sama menangani demand and supply side supaya permintaan pengguna yang lebih anjal menjadi satu kuasa untuk mempengaruhi juga kadar harga barang naik.

“Jangan bimbang kami sudah ada perancangan,” katanya dalam satu ciapan di Twitter pada Ahad.

Sementara itu,  Rafizi berkata kementerian-kementerian terbabit akan mengusahakan langkah-langkah jangka sederhana dan jangka panjang di sebelah bekalan.

Dalam perkembangan lain, Rafizi turut berkata dirinya tidak pernah lari daripada menjawab perkara kontroversi sekiranya ia menyelesaikan masalah, sama juga seperti soal harga makanan.

“Untuk selesaikan masalah, kita perlu pastikan ekosistem harga barang lebih anjal.

“Sementara kerajaan usahakan langkah-langkah jangka sederhana dan panjang seperti memperbaiki rantaian bekalan untuk hentikan monopoli.

“Selain itu, mengawal harga tanpa ganggu kelangsungan bekalan serta pelaburan berskala tinggi,” tambahnya lagi.

Beliau berkata rakyat perlu menyuntik keanjalan dalam permintaan sebagai satu lagi mekanisme kawalan harga.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan mempunyai banyak data harga yang boleh digunakan rakyat.

“Kita mula dengan yang ini (data). InsyaAllah sedikit demi sedikit kita kembalikan kuasa pengguna,” ujarnya.

Sebelum ini, satu video klip berdurasi 45 saat tular di media sosial berkenaan pengguna harus kurangkan beli atau makan ayam sebagai solusi untuk menurunkan harganya.

Sumber: Rafizi Ramli via Twitter

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana