Siakap Keli
ribut di us
Gambar: The Guardian

Ribut Salji ‘Gergasi’ Landa US, Suhu Menjunam Dalam Masa 30 Minit

Penduduk Amerika Syarikat (US) kini sedang berdepan dengan ‘serangan’ ribut salji seakan taufan bom yang mengancam nyawa, selain kilat dan banjir yang berlaku pada Jumaat, lapor The Guardian.

Fenomena alam yang ‘mengganas’ tersebut dilapor melumpuhkan bekalan elektrik, sekali gus mengakibatkan kira-kira 1.4 juta rumah dan kedai terjejas dan terpaksa ‘bergelap’.

Tidak kurang juga, 5,700 penerbangan turut terpaksa dibatalkan hingga memaksa berpuluh ribu pelancong ditempatkan sementara di lapangan terbang.

Dalam masa sama pihak berkuasa turut menggesa pengguna jalan raya untuk mengelakkan perjalanan tidak penting kerana ia akan terganggu disebabkan cuaca bersalji atau kemalangan yang berlaku.

Setiausaha Pengangkutan (US) Pete Buttigieg memaklumkan sistem penerbangan AS beroperasi di bawah tekanan yang sangat besar dan kira-kira 10 peratus penerbangan telah dibatalkan pada Khamis.

Lapor The Guardian, ribut ‘gergasi’ tersebut dianggarkan berlaku selebar 2,000 batu dan telah menghasilkan salji yang tebal serta membuatkan suhu dari Texas ke Maine menjunam jatuh.

Disebabkan itu pegawai mengarahkan kenderaan untuk keluar dari jalan raya kerana kesan ribut berpotensi melumpuhkan seluruh bahagian tengah dan timur negara berkenaan.

Dalam pada itu, letupan arktik mengakibatkan gangguan yang meluas kepada utiliti dengan lebih 1.5 juta isi rumah dianggarkan terputus bekalan elektrik.

Presiden AS Joe Biden berkata di Rumah Putih bahawa bencana yang melanda itu bukan seperti hari salji pada zaman dahulu (kadar normal) sebaliknya merupakan perkara yang serius.

Menurut peramal dari Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS), kira-kira 200 juta orang di 48 negeri bersebelahan berada di bawah amaran cuaca ekstrem.

Beberapa daerah mengalami kemerosotan suhu terendah seperti di Ohio berada pada tahap -9F (-22.7C) daripada 42F (5.5C).

Manakala di Cheyenne, Wyoming, mencatatkan kejatuhan suhu terbesarnya yang menjunam daripada 6.1C kepada -16.1C dalam masa 30 minit.

NWS berkata suhu -45C hingga -57C mungkin berlaku pada ketika ini di  beberapa bahagian AS.

Amaran turut dikeluarkan di kawasan metropolitan besar seperti Des Moines, Iowa ekoran ancaman radang dingin yang boleh menjadi bahaya yang ketara.

Sumber: The Guardian

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana