Kajian Terbaru Dapati Menara Condong Pisa Semakin Menegak
Kajian terbaru mendapati bahawa menara terkenal di Itali iaitu Menara Condong Pisa dilaporkan semakin berada dalam keadaan menegak iaitu sebanyak 1.6 inci sejak dua dekad yang lalu.
Memetik laporan Daily Mail, walaupun bangunan tersebut dianggap unik, namun ia telah membimbangkan jurutera dan ahli sejarah yang sudah berusaha untuk menstabilkan menara itu selama 11 tahun.
Difahamkan, kajian mengenai kecondongan menara itu telah dibiayai oleh sebuah organisasi pemeliharaan, Opera Primaziale della Pisana (OPA).

Menurut profesor geoteknik dari Universiti Pisa, Nunziante Squeglia, walaupun kecondongan itu telah berkurang, namun ia dilaporkan masih bergoyang pada purata kira-kira 0.02 inci setahun.
“Apa yang lebih penting ialah kestabilan menara loceng, dimana ia lebih baik daripada jangkaan,” katanya kepada Agensi Akhbar Bersekutu Kebangsaan Itali (ANSA).
Bukan itu sahaja, menara loceng yang merupakan simbol kuasa republik maritim Pisa pada Zaman Pertengahan itu telah bertahan kukuh walaupun empat gempa bumi kuat pernah melanda wilayah itu sejak tahun 1280.
Pada tahun 2018, sebuah kajian mendapati bahawa kelembutan tanah asas menara itu menjadi salah satu faktor yang melindungi menara tersebut daripada sebarang gegaran.
Mengikut teori, menara yang mempunyai ukuran sepanjang 57 meter itu mula ‘menunduk’ atau condong selepas pembinaan bangunan itu bermula pada tahun 1173.
Difahamkan, ia berpunca daripada reka bentuk yang dianggap ‘cacat’ yang menggunakan tanah asas sedalam tiga meter sahaja dan diletakkan di dalam tanah yang lemah dan tidak stabil.
Tapak asas menara tersebut dikatakan lebih lembut di sebelah selatan, oleh itu jurutera cuba mengimbangi menara tersebut semasa mereka membina lapan tingkat ke atas.

Beberapa jurutera yang terlibat telah menjadikan sebahagian lantai lebih pendek pada satu sisi daripada sisi yang lain dan telah menyebabkan struktur bangunan itu kelihatan melengkung dan condong.
Pada tahun 1990, menara itu masih kelihatan condong pada 5.5 darjah ke arah selatan dan ia telah ditutup kepada orang ramai atas faktor keselamatan.
Selepas beberapa strategi yang digunakan gagal untuk meluruskan struktur bangunan, jurutera telah memutuskan untuk mencuba strategi baru iaitu pengekstrakan tanah.
Walaupun strategi itu berkesan, jurutera mendapati menara itu lebih condong semasa hujan pada musim sejuk kerana paras air di bahagian bawah utara menara itu lebih tinggi.
Justeru, mereka terpaksa menggali longkang supaya air dapat mengalir ke dalam telaga dan memastikan asas menara tersebut lebih stabil.
Projek ini kemudiannya disiapkan pada tahun 2001 dan ia telah memberi kesan kepada kecondongan menara itu.
Difahamkan, menara tersebut telah menegak sebanyak 15 inci pada ketika itu dan ia dilaporkan kerap bergerak secara menegak sejak projek itu membuahkan hasil.
Bagaimanapun, menurut ANSA, bangunan itu akan selamat dalam jangka masa 300 tahun lagi.
Sumber: Daily Mail, Metro UK